Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
16) PEMERKASAAN PENDIDIKAN TEKNIKAL DAN VOKASIONAL (TVET)
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah langkah Kerajaan Negeri dalam meningkatkan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET)?
Pelbagai usaha dan inisiatif telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor bagi meningkatkan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) dalam melahirkan tenaga mahir melalui program TVET seperti sasaran Dasar TVET Negara 2030 dengan aspirasi negara melahirkan 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang tahun 2030 yang akan membawa Malaysia ke arah negara maju dengan menekankan modal insan berkemahiran yang responsif, fleksibel dan inklusif. Antara inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri adalah:
- Menawarkan program-program di bawah Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) yang menekankan ekosistem latihan kemahiran yang berorentasikan industri iaitu Pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM); dan
- Terdapat juga Program Kemahiran Profesional di bawah IKTISASS yang ditawarkan kepada mereka yang layak. Program ini dilaksanakan dengan kolaborasi bersama beberapa syarikat dan institusi antarabangsa antaranya Siemens.Ins, Apple.Inc, FESTO, Dassault Systemes, KNX Mendix, dan beberapa kerjasama bersama Institusi Pengajian Tinggi seperti Technical University of Munich (TUM), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Kolej Vokasional, Federal Institute for Vocational Education and Training (BIBB) dan sebagainya. Pelaksanaan program ini bertujuan menggalakkan anak muda untuk mempelopori bidang baru di peringkat pengajian tinggi dan membantu penyediaan tenaga kerja dalam bidang yang berkaitan;
- Menganjurkan TVET Bootcamp kepada pelajar sekolah menengah bagi memberi pendedahan kepada peluang pengajian TVET selepas tamat sekolah dan peluang pekerjaan dalam bidang TVET bagi menggalakkan pelajar menceburi bidang TVET kelak;
- Kerjasama bersama Kolej Vokasional (KV) untuk memastikan lepasan SPM yang tidak berjaya melanjutkan pengajian TVET di KV diberi tawaran penempatan di STDC; dan
- Penganjuran Program Selangor Advance Skills (SAS) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia bagi melahirkan bakat-bakat berkemahiran yang baharu dan berjaya.
-
Apakah bantuan yang disediakan kepada pelajar dalam bidang TVET?
Antara bantuan yang disediakan kepada pelajar dalam bidang TVET adalah menyediakan pembiayaan di bawah peruntukan pembangunan (P01-Program IKTISASS) bagi membantu mengurangkan beban kewangan pelajar daripada kategori B40 dan M40 melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran TVET ini termasuk program khas Tahfiz dan Anak Yatim dengan kerjasama Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE). Selain daripada itu, inisiatif Bantuan Yuran Asas Universiti (BAYU) kepada pelajar yang layak mendaftar dan meneruskan pengajian di UIS dan UNISEL termasuk dalam bidang TVET yang ditawarkan bagi meringankan beban kewangan mereka untuk melanjutkan pengajian.
-
Bagaimana dengan kerjasama antara institusi TVET dan sektor industri?
Terdapat pelbagai kerjasama antara institusi TVET dan sektor industri dalam dan luar negara antaranya adalah seperti berikut:
-
- Program kolaborasi bersama beberapa syarikat dan institusi antarabangsa antaranya Siemens.Ins, Apple.Inc, FESTO, Dassault Systemes dan KNX Mendix dalam beberapa bidang seperti pengaturcaraan, automasi digital dan kecerdasan buatan (AI);
- Program Perantisan Aeroangkasa Selangor bersama GE Engineering Services Sdn. Bhd. dalam dua (2) program iaitu GE Aerospace Engineering Technical Programme dan Engine Maintenance Apprentice, The Welding Institute (TWI Malaysia) bagi program kimpalan dan Carsome Institute bagi program automotif;
- Kerajaan Negeri Selangor juga sedang mencari peluang kerjasama baru bersama syarikat-syarikat berkaitan aeroangkasa yang lain seperti Aerodyne Group, Turkish Aerospace Industy (TAI) dan syarikat OEM lain untuk mengadakan kerjasama program pembangunan modal insan; dan
- Kerjasama syarikat tempatan seperti Perodua, Volkswagen, Wrightbus Malaysia dan Aerodyne Group bagi program automotif, Daikin bagi program pemasangan dan penyelenggaraan penghawa dingin serta Yamaha bagi penyelenggaraan motorsikal.
-