Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
12) KEBERSIHAN PANTAI-PANTAI DI NEGERI SELANGOR
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah langkah Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kebersihan pantai di Selangor?
Kerajaan Negeri Selangor melalui LUAS telah membangunkan Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu (Integrated Coastal Management,ICM) melibatkan perairan pantai di seluruh Negeri Selangor dengan anggaran panjang keseluruhan ialah 291 km. Pelan ICM ini mengambil pendekatan bersepadu dalam pembangunan di pesisir pantai bagi memelihara dan memulihara secara lestari ekosistem perairan pantai dalam jarak 3 batu nautika.
Antara langkah Kerajaan Negeri melalui LUAS untuk meningkatkan kebersihan pantai di Negeri Selangor adalah seperti berikut:
- Pelaksanaan Pelan ICM ini yang turut melibatkan polisi kawalan pencemaran dan pengurusan sisa pepejal serta ekosistem persekitarannya dipantau melalui Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu (ICM) Negeri Selangor yang akan bermesyuarat sekali pada setiap tahun di mana status pelaksanaan polisi dan strategi yang digariskan akan dipantau dan dikemaskini berdasarkan status terkini oleh agensi-agensi yang bertanggungjawab selaras bidang kuasa. Jawatankuasa ini akan dipengerusikan Pengarah LUAS dan dianggotai agensi kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat Daerah dan Tanah dan, agensi teknikal serta pihak berkepentingan berkaitan;
- Memperkasakan penglibatan komuniti dalam pembersihan pantai dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Perhutanan, LUAS dan semua agensi berkaitan dalam program kesedaran pembersihan pantai dan juga program penanaman semula pokok bakau; dan
- Melaksanakan pemantauan di persisiran pantai secara berkala dan juga menjalankan pensampelan kualiti air di persisiran pantai Negeri Selangor.
Selain itu, Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga turut melaksanakan inisiatif bagi menjaga tahap kebersihan di kawasan-kawasan pantai seperti berikut:
- Memasang papan tanda peringatan bagi menjaga kebersihan pantai dan menempatkan tong-tong sampah jenis majestik di kawasan pantai;
- Melantik syarikat perkhidmatan pembersihan persisir pantai melalui penswastaan kontrak yang bertanggungjawab untuk menyelenggara secara berkala dan harian; dan
- Menganjurkan program/kempen pembersihan pantai dengan penglibatan pelbagai Jabatan dan Agensi, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat seperti Sambutan Hari Pembersihan Pantai Antarabangsa (International Coastal Cleanup Day) dan Hari Alam Sekitar Sedunia.
-
Apakah inisiatif kesedaran komuniti yang dijalankan untuk menjaga kebersihan pantai?
Salah satu inisiatif Kerajaan Negeri dalam menjaga sumber air yang meliputi sungai, kolam, tasik dan pesisir pantai yang telah dilaksanakan adalah melalui inisiatif Friends of Rivers (FOR) Negeri Selangor. Inisiatif FOR ini menggalakkan komuniti dan masyarakat terutamanya yang berhampiran sumber air untuk bersama-sama memelihara dan memulihara sumber air melalui aktiviti komuniti/masyarakat seperti gotong-royong pembersihan secara sukarela. Tujuan inisiatif ini dilaksanakan adalah untuk meningkatkan kesedaran serta rasa cinta masyarakat terhadap kepentingan sumber air di Negeri Selangor serta pemeliharaan ekosistem. Selain itu, Jabatan dan Agensi serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut menganjurkan program pembersihan pantai bersepadu bersempena sambutan Hari Pembersihan Antarabangsa (International Coastal Clean Up) yang disambut pada bulan September setiap tahun. Secara tidak langsung, inisiatif ini memberi peluang kepada Kerajaan Negeri untuk berkolaborasi bersama komuniti setempat dalam melaksanakan program/aktiviti pemuliharaan sumber air ini secara konsisten.
-
Bagaimana dengan tindakan terhadap pencemaran sisa di kawasan pantai?
Tindakan Kerajaan Negeri Selangor melalui LUAS bagi menangani isu pencemaran sisa di kawasan pantai adalah dengan penyelarasan tindakan bersepadu bersama Pihak Berkuasa Tempatan dan Jabatan Alam Sekitar selaras bidang kuasa agensi. Tindakan dan kawalan dilaksanakan dalam kawasan 3 batu nautika di bawah perairan negeri. Pengenalpastian punca pencemaran bagi tindakan penguatkuasaan adalah di bawah Seksyen 79(1), dan juga arahan tindakan pembersihan sisa di bawah Seksyen 121(1), Enakmen LUAS 1999. LUAS juga boleh mengeluarkan Perintah Perlindungan Air di bawah Seksyen 122(1) Enakmen LUAS 1999 bagi tujuan perlindungan sumber air.
Berdasarkan bidang kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS), sekiranya terdapat sebarang insiden pencemaran yang melibatkan tumpahan minyak di persisiran pantai, Pelan Tindakan Pembersihan Tumpahan Minyak di Kawasan pantai akan diaktifkan. Jawatankuasa tindakan yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri akan menyelaras operasi pembersihan pantai. Peranan JAS adalah memberi nasihat teknikal berkaitan strategi pembersihan pantai, identifikasi kawasan sensitif alam sekitar (kawasan impak) dan pelupusan. Tindakan perundangan akan diambil terhadap pihak yang melakukan kesalahan pencemaran di kawasan-kawasan pantai di Negeri Selangor.
Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Alam Sekitar telah mewartakan Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 (Akta 127) pada 7 Julai 2024 dengan meningkatkan tindakan penguatkuasaan di bawah kesalahan melepaskan minyak ke dalam perairan Malaysia yang diperuntukkan di bawah Seksyen 27 dan melepaskan buangan ke dalam perairan Malaysia yang diperuntukkan di bawah Seksyen 29. Nilai denda telah ditetapkan iaitu minimum tidak kurang daripada RM50,000 dan denda maksimum tidak melebihi RM10 juta. Hukuman penjara 5 tahun bagi kesalahan tersebut.