Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

414) SELANGOR AVIATION SHOW

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Muhammad Izuan Bin Ahmad Kasim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah kos Selangor Aviation mengikut tahun sepanjang program ini dilancarkan?

    Selangor Aviation Show (SAS) merupakan acara tahunan Kerajaan Negeri Selangor bagi industri aeroangkasa di negeri ini yang telah memasuki edisi keempat pada tahun 2024. Program ini dimulakan pada tahun 2021 dan diteruskan pada tahun-tahun berikutnya dengan objektif untuk menyediakan platfom bagi syarikat-syarikat aeroangkasa di negeri Selangor terutamanya syarikat kecil dan sederhana meluaskan pasaran dan hubungan perniagaan dengan syarikat-syarikat terkemuka antarabangsa selain menarik lebih banyak peluang pelaburan ke negeri Selangor. Matlamat penganjuran acara ini adalah untuk mempromosikan kelebihan dan kebolehan negeri Selangor dalam bidang aeroangkasa, dan bukanlah untuk bersaing dengan acara-acara penerbangan lain di Malaysia seperti Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition (LIMA) atau Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) yang mempunyai fokus dan tarikan tersendiri.

    Penganjuran acara Selangor Aviation Show ini melibatkan sejumlah kos yang terdiri daripada sewaan tempat acara dan Hangar, pembinaan ruang pameran, kos penggunaan ruang udara bagi pertunjukan udara, pengaturan logistik bagi para pengunjung, sistem pendaftaran dan banyak lagi. Oleh itu, edisi pertama program ini pada tahun 2021 telah melibatkan kos sebanyak RM2,000,000, RM5,000,000 pada tahun 2022 dan 2023 dan sebanyak RM6,000,000 telah dibelanjakan untuk menjayakan SAS 2024.

    Peningkatan jumlah kos ini adalah untuk menampung pertambahan kawasan pameran dan ruang reruai setiap tahun kerana acara ini mendapat sambutan yang menggalakkan terutamanya daripada syarikat yang pernah menyertai pada tahun sebelumnya. Program ini disasarkan untuk terus berkembang sehingga ke peringkat antarabangsa, setaraf dengan acara penerbangan terkemuka yang lain seperti Pameran Udara Oshkosh, European Business Aviation Convention & Exhibition (EBACE), Asian Business Aviation Conference & Exhibition (ABACE) dan sebagainya.

    Pada tahun 2022, sebanyak 20 syarikat merupakan pempamer semula (returning exhibitor) daripada SAS 2021 dengan 2 daripada jumlah tersebut merupakan syarikat luar negara, pada 2023 sebanyak 38 pempamer semula (returning exhibitor) yang terdiri daripada 35 syarikat tempatan dan 3 syarikat luar negara. Manakala bagi tahun 2024, sebanyak 48 merupakan pempamer semula (returning exhibitor) iaitu dengan pecahan sebanyak 43 syarikat tempatan dan 5 syarikat luar negara.

    Antara syarikat terkemuka yang menjadi pempamer semula adalah Dassault Aviation yang terkenal sebagai syarikat pembuatan jet peribadi Falcon, UMW Aerospace yang merupakan pembuat fan case enjin Rolls Royce dan Galaxy Aerospace (MRO Helicopters), Delta Aerospace (Pembuat Sea planes), Pen Aviation (Dron) dan Textron Aviation (Pembuat jet am dan perniagaan). Ini membuktikan SAS berjaya menjadi platfom yang efektif bagi syarikat-syarikat ini untuk mencapai sasaran penyertaan mereka.

    Bagi jumlah pempamer pula, terdapat peningkatan daripada 47 syarikat pada tahun 2021 kepada 129 syarikat pada tahun 2024. Peningkatan ini juga adalah kerana penyertaan syarikat bagi pameran kerjaya yang diadakan bermula pada tahun 2023 yang diteruskan pada tahun 2024 dan mendapat sambutan yang memberansangkan. Sebanyak 26 syarikat telah menyertai pameran kerjaya di SAS 2023 dan telah meningkat kepada 38 syarikat di SAS 2024 dengan seramai 222 orang yang hadir sewaktu temuduga telah ditawarkan pekerjaan sewaktu acara tersebut berlangsung. Jumlah pengunjung juga telah melonjak dari 4,987 pengunjung pada tahun 2021 kepada 29,638 pengunjung pada tahun 2024.

  2. Berapakah jumlah transaksi yang telah dicatatkan mengikut tahun sepanjang program ini dijalankan?

    Pelaksanaan acara SAS selama empat (4) tahun berturut-turut telah menyaksikan peningkatan nilai jumlah transaksi Year-on-Year (Y-o-Y).

    Secara keseluruhannya, transaksi tersebut terdiri daripada pemeteraian perjanjian persefahaman dan juga pemeteraian perjanjian kerjasama antara pemain-pemain industri, institusi dan agensi Kerajaan Negeri Selangor untuk membangunkan industri aeroangkasa di negeri Selangor. Ianya juga melibatkan eksplorasi dan R&D kepada tekonologi baharu seperti Sustainable Aviation Fuel (SAF), Penerbangan Perniagaan dan Am, Infrastruktur dan juga pembangunan tenaga mahir. Peningkatan nilai jumlah transaksi setiap tahun membuktikan Negeri Selangor menjadi pilihan pelabur-pelabur untuk mengembangkan perniagaan mereka di negeri ini.

  3. Apakah perancangan kerajaan untuk memastikan program ini menjadi lebih hebat pada tahun-tahun akan datang?

    Sebagai langkah persediaan Malaysia menjadi tuan rumah kepada sidang kemuncak ASEAN yang bakal diadakan pada tahun 2025, pihak Kerajaan Negeri ingin mengambil langkah yang lebih proaktif dan strategik dalam usaha untuk membangunkan dan menjayakan sebuah pameran penerbangan bertaraf antarabangsa dengan meneroka peluang kerjasama bersama pemain industri dan agensi Kerajaan Negeri.

    Dalam usaha memperhebatkan lagi program ini dimasa akan datang, Kerajaan Negeri bercadang untuk mengadakan segmen bersasar melalui penganjuran aktiviti seperti pameran, forum, sesi libat urus dan meja bulat yang merangkumi subsektor-subsektor terbesar dalam industri aeroangkasa Selangor seperti Maintenance, Repair and Overhaul (MRO), Aero Manufacturing, Penerbangan Komersial, inovasi seperti Sustainable Aviation Fuel (SAF) dan pembangunan ekonomi angkasa (Space Economy), bakat, sports aviation dan general aviation, dron, dan banyak lagi.

    Kerajaan Negeri percaya inisiatif ini penting untuk Malaysia terutamanya dalam menyumbang kepada industri aeroangkasa dan penerbangan serta Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

    Kerajaan Negeri memahami bahawa kedudukan Malaysia di dalam ICAO amatlah penting, bagi mengekalkan pengaruh dan peranan dalam membentuk dasar dan standard global yang mengawal selia penerbangan awam antarabangsa dan juga memberi input dalam keputusan yang berkaitan dengan ekonomi penerbangan, termasuk hak laluan udara, yuran penerbangan, dan peraturan perdagangan udara.

    Selain itu, subsektor sokongan bagi industri penerbangan seperti pembekalan makanan dan minuman, alat kelengkapan diri bagi in-flight service juga akan diketengahkan untuk menggalakkan para pelabur untuk menjalankan perniagaan di Selangor di samping membuka peluang bagi syarikat-syarikat tempatan terutamanya syarikat kecil dan sederhana untuk memperkenalkan produk dan servis mereka kepada syarikat-syarikat terkemuka.

    Kerajaan Negeri juga merancang untuk memperkayakan pengisian slot dan program sampingan di Selangor Aviation Show. Antara langkah yang akan diambil adalah mempromosikan slot lawatan pesawat peribadi kepada lebih ramai individu bernilai tinggi (high-net-worth individual) untuk meningkatkan potensi jual beli kepada syarikat-syarikat yang menawarkan servis berkaitan.

    Disamping itu, Kerajaan Negeri juga bercadang untuk menambah elemen-elemen baru di SAS seperti teknologi gajet dan aksesori, dan gaya hidup mewah yang merangkumi sport car, high-end fashion, dan perkhidmatan sewaan pesawat peribadi yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat tempatan dan luar negara.

    Promosi ke atas pembangunan dan ketersediaan bakat tempatan bagi industri aeroangkasa akan digiatkan melalui penganjuran pameran kerjaya yang lebih besar sewaktu acara SAS yang akan datang.

Lampiran

Tiada Lampiran.