Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

395) MASALAH SISTEM PERPARITAN DI KAWASAN TAMAN MAS DAN KAMPUNG MELAKA

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Datuk Wira Johan Bin Abd Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan dan usaha pihak agensi dalam menyelesaikan isu limpahan air pada waktu hujan di kawasan tersebut?

    JPS

    Untuk makluman Yang Berhormat, hasil pemerhatian dan penelitian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor melalui JPS Daerah Hulu Langat mendapati isu limpahan air yang berlaku pada waktu hujan di kawasan Taman Mas dan Kampung Melaka adalah disebabkan oleh aktiviti pembukaan tanah bagi tujuan kediaman dan komersial. Isu penyelenggaraan parit dalaman taman perumahan yang telah dipenuhi dengan sampah dan kelodak tanah/ pasir juga menjadi penyumbang kepada faktor kapasiti longkang tidak mencukupi untuk menampung air larian permukaan hujan lalu ia melimpah dan berlakunya banjir kilat. Selain daripada itu, projek pelebaran Jalan Hulu Langat (B52) turut mempengaruhi faktor pertambahan air larian permukaan hujan. Dengan keadaan bentuk muka bumi di kawasan tersebut yang berbukit serta kedudukan Kampung Melaka yang terletak di bahagian rendah meningkatkan risiko berlakunya kejadian banjir kilat. Isu saluran keluar (final discharge) adalah masalah utama sistem saliran di kawasan tersebut memandangkan aliran air daripada sistem saliran akan terganggu untuk keluar ke parit utama/ sungai sekiranya final discharge tidak diselenggara atau dinaiktaraf. Untuk makluman juga, final discharge tersebut terletak di dalam tanah persendirian di dalam Kampung Melaka. Final discharge di kawasan tersebut perlu dinaiktaraf dengan mengambilkira keperluan semasa dan pembangunan yang akan datang.

    PDT HULU LANGAT

    PDTHL telah mengadakan mesyuarat sebanyak 2 kali iaitu pada 23 Ogos 2024 dan 28 Ogos 2024 bersama JKR, JPS dan MPKj dan pemimpin setempat bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai isu tersebut. Lawatan tapak juga telah diadakan pada 5 September 2024. Pihak JPS telah mengemukakan cadangan jangka masa pendek dan jangka masa panjang untuk menyelesaikan isu ini. JKR juga mencadangkan agar isu limpahan air ini perlu dibawa ke perhatian Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri Negeri Selangor (ICU JPM) untuk penyelesaian terhadap isu ini memandangkan kos penambahbaikan sistem perparitan yang agak tinggi.

    MPKj

    Hasil semakan dibuat mendapati permasalahan sistem perparitan di kawasan yang dinyatakan adalah di bawah bidang kuasa Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat / Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Negeri Selangor dan bukan di bawah bidang kuasa MPKj.

  2. Memohon pihak kerajaan menyegerakan peruntukan bagi menyelesaikan masalah tersebut kerana penduduk Kampung Melaka kerap ditimpa musibah apabila hari hujan.

    JPS

    Untuk makluman Yang Berhormat, penyelesaian isu banjir kilat di kawasan Kampung Melaka memerlukan penyelarasan dan tindakan bersepadu daripada semua pihak seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat (PDTHL). Kajian reka bentuk bagi menaiktaraf sistem saliran perlu dibuat berdasarkan keperluan semasa keadaan di kawasan tersebut. Proses pengambilan balik tanah dan perwartaan tanah Kerajaan juga perlu dilaksanakan kerana saliran semula jadi yang terdapat di Kampung Melaka yang perlu dinaiktaraf kebanyakan terletak di dalam tanah persendirian.

    PDT HULU LANGAT

    PDTHL akan berkerjasama dengan agensi berkaitan dari masa ke semasa bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.