Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

394) APLIKASI TEKNOLOGI DALAM PENGURUSAN BENCANA DI SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Puan Mariam Binti Abdul Rashid

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah terdapat perancangan bagi menggunakan teknologi seperti kepintaran buatan bagi pengurusan bencana?

    Untuk makluman Yang Berhormat, melalui inisiatif Smart Selangor di bawah domain Smart Disaster Management, Kerajaan Negeri Selangor telah merangka perancangan yang menyeluruh bagi penggunaan teknologi termasuk kepintaran buatan (AI) dalam pengurusan bencana. Antara usaha yang telah dijalankan adalah penubuhan Smart Selangor Operation Centre (SSOC) dan District Disaster Operation Centre (DDOC) dengan kerjasama strategik Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Bahagian Pengurusan Maklumat, 9 Pejabat Daerah & Tanah serta Smart Selangor Delivery Unit (SSDU).

    SSOC memainkan peranan penting dalam memantau indikasi petunjuk cuaca secara real-time, membantu mengenal pasti risiko awal bencana, serta menyelaras komunikasi antara DDOC dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di peringkat pusat. Pusat ini juga memanfaatkan teknologi pengumpulan data dan analitik berasaskan AI untuk memberikan ramalan bencana yang lebih tepat dan membantu dalam proses membuat keputusan yang lebih cepat dan berkesan.

    Tambahan kepada inisiatif-inisiatif ini, Defence Geospatial Information Management (DGIM) oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga berfungsi sebagai sistem yang penting dalam pengurusan maklumat geospatial semasa bencana. DGIM menyokong operasi dengan menyediakan peta kawasan terjejas, pemantauan masa nyata melalui imej satelit dan dron, serta analisis risiko yang membantu NADMA dan Kerajaan Negeri Selangor untuk membuat keputusan respons berdasarkan maklumat lokasi. DGIM turut memberi maklumat kritikal mengenai laluan yang selamat bagi bantuan kecemasan dan lokasi yang memerlukan perhatian segera, memastikan sumber diagihkan dengan cekap.

    Melalui pendekatan ini, Kerajaan Negeri berusaha untuk mengurangkan risiko bencana dan memastikan setiap tindakan respons adalah cekap dan berpandukan data terkini. Penggunaan DGIM yang bersepadu dengan teknologi lain seperti SSOC dan DDOC menjadikan respons terhadap bencana lebih pantas dan berkesan, dengan mengutamakan keselamatan dan keberkesanan pengagihan bantuan kepada komuniti yang terjejas.

  2. Apakah langkah Kerajaan Negeri untuk memastikan semua kawasan berisiko tinggi mempunyai pelan kecemasan yang berkesan?

    Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor telah melaksanakan penyelarasan pelan tindakan operasi agensi keselamatan berdasarkan Arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) No. 1: Dasar Dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara bagi setiap sembilan (9) daerah di Negeri Selangor.

    Selain dari pada itu juga, sekiranya daerah memerlukan bantuan agensi keselamatan akan mengaktifkan bantuan Pasukan Sokongan (Tahap 2 Keatas) bagi membantu.

    1. PDRM – Pasukan Bantuan PGA Briged Tengah (CDRT) & Marin Klang
    2. JBPM – Pasukan MTL Red Team HQ (1 x pegawai & 4 x anggota penyelamat, 1 x lori, 1 x kenderan utiliti, 1 x bot penyelamat) dan Negeri Berhampiran
    3. APM – Pergerakan dari zon (yang tidak kritikal) atau APM Negeri
    4. ATM – Pergerakan dari pasukan berhampiran

     

    Penyelarasan pelan tindakan operasi keselamatan ini dilaksanakan adalah untuk:

    1. Penyelarasan keanggotaan dan aset agensi keselamatan bagi membantu daerah yang memerlukan
    2. Mempercepatkan bantuan mencari dan menyelamat (SAR) kepada mangsa di daerah yang terjejas
    3. Melaksanakan persediaan menghadapi kejadian bencana yang besar dan luar jangka
    4. Menyelaras koordinasi agensi/jabatan peringkat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN)
  3. Bagaimana Selangor melibatkan komuniti dalam latihan dan simulasi bencana?

    Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil langkah-langkah proaktif untuk melibatkan komuniti dalam latihan dan simulasi bencana, dengan pelaksanaan program yang fokus kepada pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti. Antara inisiatif utama yang diambil adalah:

    • Kerjasama dengan JICA SEDAR dan UTMKL: Melalui kerjasama ini, Selangor telah menjalankan program pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti bagi memberi pendedahan yang menyeluruh kepada komuniti tempatan tentang persiapan menghadapi bencana.
    • Pendedahan Saintifik tentang Risiko Bencana kepada Pemimpin Komuniti: Pemimpin komuniti telah diberi pemahaman yang lebih mendalam tentang risiko bencana melalui pendekatan yang berasaskan sains. Ini membolehkan mereka mengenal pasti risiko dengan lebih tepat dan bersedia untuk bertindak apabila berdepan dengan bencana.
    • Meningkatkan Ilmu Pengetahuan tentang Kesiapsiagaan Bencana: Usaha ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan komuniti mengenai risiko bencana serta langkah-langkah kesiapsiagaan yang perlu diambil, agar mereka dapat bertindak dengan lebih pantas dan berkesan.
    • Perancangan dan Pelaksanaan Aktiviti Pengurangan Risiko Bencana (DRR) oleh Komuniti: Aktiviti-aktiviti DRR yang dirancang membolehkan komuniti sendiri menjadi pemimpin dalam usaha pengurangan risiko, menggalakkan penglibatan langsung dan memperkukuhkan ketahanan mereka terhadap bencana.
    • Merangka Program Berdasarkan Kesesuaian Komuniti Setempat: Kerajaan Negeri turut memastikan setiap program yang dilaksanakan mengambil kira kesesuaian dan keperluan komuniti setempat, bagi memastikan keberkesanan dan penerimaan yang lebih tinggi di kalangan masyarakat.

    Melalui pendekatan-pendekatan ini, Kerajaan Negeri Selangor berusaha untuk membina komuniti yang lebih berdaya tahan dan bersedia dalam menghadapi sebarang situasi bencana.

Lampiran

Tiada Lampiran.