Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

370) KESIHATAN MENTAL

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status pengembangan Talian Selangor Mental Sihat (SEHAT)?

    Talian SEHAT merupakan salah satu bantuan kesihatan mental yang disediakan di bawah Program Selangor Mental Sihat (SEHAT). Inisiatif ini menawarkan dua talian bagi sesi kaunseling secara percuma kepada individu yang memerlukan bantuan berkaitan kesihatan mental. Untuk makluman Yang Berhormat, waktu operasi Talian SEHAT adalah pada hari Isnin hingga Jumaat, bermula dari jam 8.30 pagi sehingga 4.30 petang.

    Talian SEHAT merupakan pilihan alternatif selain daripada Talian HEAL oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Talian Kasih oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan talian oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Befrienders. Sejak ianya dilancarkan pada bulan September tahun 2021, terdapat sejumlah 1,576 panggilan telah diterima melalui Talian SEHAT ini. Bagi memperluas bantuan kesihatan mental selain daripada kaunseling secara atas talian iaitu Talian SEHAT adalah dengan mengadakan Program Kaunseling Hab SEHAT iaitu program kaunseling secara bersemuka di sembilan daerah yang mula dilancarkan pada bulan Ogos tahun 2024.

  2. Bagaimana Kerajaan Negeri mengukur keberkesanan program SEHAT dalam meningkatkan kesihatan mental masyarakat?

    Antara kaedah bagi mengukur keberkesanan pelaksaaan Program SEHAT dalam meningkatkan tahap kesihatan mental masyarakat di Negeri Selangor adalah melalui jumlah individu yang menggunakan perkhidmatan yang disediakan di bawah Program SEHAT. Sebagai contoh, jumlah panggilan Talian SEHAT yang diterima pada tahun 2023 adalah berjumlah 583 panggilan, berbanding 414 panggilan pada tahun 2022. Jika dilihat peningkatan ini daripada aspek positif, ianya menunjukkan bahawa orang awam lebih terbuka untuk bercerita mengenai isu kesihatan berkaitan mental yang dihadapi dan seterusnya menerima rawatan susulan sekiranya diperlukan.

    Selain daripada itu, data daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berhubung Bilangan Kes Gangguan Mental di Klinik Kesihatan Mengikut Daerah di Negeri Selangor menunjukkan terdapat penurunan bilangan kes daripada 2,297 kes pada tahun 2023 kepada 2,234 kes pada tahun 2024, sehingga 31 September 2024. Lima daerah menunjukkan penurunan kes iaitu Petaling, Hulu Langat, Klang, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

  3. Adakah perancangan kerajaan untuk menambahbaikkan program SEHAT selain daripada menyediakan perkhidmatan kaunseling?

    Buat masa ini, antara penambahbaikan inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan di bawah Program SEHAT adalah program subsidi rawatan psikiatri yang telah bermula pada tahun 2022, subsidi rawatan psikologi klinikal pada tahun 2023 dan program kaunselor hab SEHAT pada tahun 2024.

Lampiran

Tiada Lampiran.