Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
366) TRANSIT-ORIENTED DEVELOPMENT (TOD)
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Cheong Kian Young
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bagaimanakah Kerajaan Negeri merancang untuk memperluaskan konsep Transit-Oriented Development (TOD) di sekitar stesen LRT dan MRT di Lembah Klang bagi mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian?
- Pembangunan berkonsepkan Transit-Oriented Development (TOD) merupakan salah satu kaedah pembangunan yang digalakkan oleh Kerajaan Negeri. Kawasan-kawasan yang berpotensi telah dikenal pasti oleh setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan dinyatakan di dalam Rancangan Tempatan.
- Draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 (Pengubahan), telah mencadangkan pembangunan TOD ini sebagai sebahagian daripada konsep smart growth bagi menyokong Teras Ke – 2 iaitu Ke Arah Negeri Mampan dan Berdaya Tahan.
- Dasar ini mencadangkan dua (2) inisiatif pelaksanaan iaitu, guna tanah di pusat-pusat transit akan dimajukan dengan konsep Transit-Oriented Development (TOD) seterusnya menyediakan pelan tindakan dan garis panduan pembangunan TOD bagi setiap stesen transit untuk memudahkan pelaksanaan dan pengawalan perancangan terutamanya dalam penyediaan rangkaian laluan pejalan kaki dan reka bentuk bandar selaras dengan keadaan tapak.
- Seterusnya, bagi memperluaskan pembangunan berorientasikan transit di Negeri Selangor, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor (PLANMalaysia Selangor) telah menyediakan Dasar Perancangan Pembangunan Berorientasikan Transit Negeri Selangor yang telah diluluskan di dalam MMKN ke 7/2016 pada 24 Februari 2016. Dokumen ini disediakan sebagai panduan dan asas pertimbangan kepada perancangan pembangunan oleh Pihak Berkuasa Tempatan dalam proses kelulusan kebenaran merancang yang melibatkan cadangan pembangunan berorientasikan transit.
- Bagi memudahcara pembangunan berorientasikan transit, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia Ibu Pejabat) juga telah menerbitkan sebuah garis panduan khusus iaitu Garis Panduan Perancangan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) yang bertujuan memandu perancangan pembangunan berorientasikan transit di kawasan stesen pengangkutan awam, bagi meningkatkan kualiti kehidupan dan daya saing kawasan di sekitar stesen tersebut.
- Oleh yang demikian, perancangan untuk memperluaskan pembangunan berorientasikan transit (TOD) di Negeri Selangor telah dibuat secara teliti dan diselaraskan menerusi penyediaan beberapa dasar dan polisi serta garis panduan perancangan sebagai instrumen pengawalan perancangan.