Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
342) TEKANAN AIR RENDAH
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Wan Dzahanurin Bin Ahmad
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Masalah tekanan air rendah kerap berlaku di sekitar Taman Berjaya, Seksyen 32 Shah Alam. Apakah puncanya?
Taman Berjaya Seksyen 32 Shah Alam merupakan kawasan yang berada di penghujung sistem agihan yang menerima bekalan secara terus dari kolam Bukit Lipat Kajang. Pembangunan yang pesat di kawasan sekitar telah menyebabkan permintaan bekalan air yang terus meningkat. Keadaan ini telah menyebabkan berlakunya masalah tekanan air rendah di beberapa premis sekitar Taman Berjaya, Seksyen 32 Shah Alam.
Bagi menangani permasalahan ini, pihak Air Selangor telah mengambil langkah proaktif melalui tindakan jangkamasa pendek dengan melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf sistem bekalan air melalui sumber bekalan air alternatif bagi meningkatkan tekanan air ke kawasan tersebut. Kerja-kerja tersebut dijangka siap pada hujung bulan November 2024 dan ini akan dapat membekalkan tekanan air yang lebih stabil di kawasan Taman Berjaya.
Untuk tindakan jangka masa panjang pula, Skim Bekalan Air Rasau apabila beroperasi sepenuhnya akan dapat menambahbaik sistem bekalan air dan memberi manfaat kepada kawasan Taman Berjaya.
-
Nyatakan pelan jangka pendek dan panjang bagi mengatasi masalah tekanan air rendah di DUN Sungai Kandis.
DUN Sg. Kandis mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dengan jumlah 71,141 akaun pengguna. Aliran air yang tinggi pada paip-paip sedia ada menyebabkan berlakunya gangguan tekanan terutamanya pada waktu puncak.
Air Selangor telah melaksanakan beberapa projek bagi mengatasi masalah tekanan air rendah di DUN Sungai Kandis. Projek-projek yang terlibat adalah seperti berikut:
- Projek Menaik Taraf Sistem Agihan Kawasan Bertekanan Rendah di Wilayah Klang (Alam Impian) yang melibatkan panjang paip keseluruhan yang dipasang sepanjang 2.3 kilometer dengan saiz paip 500 mm. Kos keseluruhan projek adalah RM 2.4 juta, bermula pada 15 November 2021 dan siap sepenuhnya pada 29 Disember 2023. Projek ini telah berjaya meningkatkan tekanan di kawasan Kg. Sg. Kandis & Jalan Kebun melalui tambahan sumber bekalan daripada Loji Rawatan Air Sg. Selangor Fasa 1 dan 2.
- Selain itu, Air Selangor juga telah mengenal pasti pelan perancangan jangka masa panjang bagi meningkatkan daya tahan sistem bekalan air di DUN Sg. Kandis, antaranya adalah projek di Taman Desa Latania dan Skim Bekalan Air Rasau Fasa 1, seperti berikut:
– Rehabilitasi Kolam dan Rumah Pam Taman Desa Latania
* Perunding telah dilantik dan masih di peringkat reka bentuk. Kerja pembinaan dijangka akan dilaksanakan pada tahun 2025.– Skim Bekalan Air Sungai Rasau Fasa 1
* Skim Bekalan Air Rasau Fasa 1 akan membekalkan 700 juta liter sehari air bersih ke kawasan Klang dan Shah Alam termasuk DUN Sg. Kandis yang akan menerima sumber bekalan air tambahan apabila skim berkenaan siap pada akhir tahun 2026.