Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

326) MUZIUM SABAK BERNAM

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Sallehen Bin Mukhyi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan jumlah pengunjung sepanjang tahun 2023.

    Muzium Daerah Sabak Bernam diwujudkan bertujuan untuk mempamerkan sejarah aktiviti dan ekonomi masyarakat tempatan, khususnya dalam bidang pertanian dan perikanan. Pada tahun 2023, muzium ini mencatatkan jumlah pengunjung seramai 7710 orang dimana melalui ruang pameran yang disediakan, pengunjung yang hadir dapat menyaksikan pelbagai koleksi pertanian dan perikanan tradisional yang pernah digunakan oleh masyarakat dahulu seperti mesin getah, kipas padi, lesung kayu, lukah, bubu dan pukat.

  2. Nyatakan peranan Kerajaan Negeri dalam membantu mempromosikan kepada pengunjung.

    Kerajaan Negeri sentiasa memandang penting aspek promosi yang melibatkan lokasi pelancongan budaya di negeri Selangor dan ia termasuklah mempromosi semua muzium-muzium negeri. Bagi memastikan promosi muzium yang berkesan dan menyeluruh, program-program promosi seperti program Familiarisation Trip bersama Media: 3 Hari Mencintai Muzium telah dilaksanakan pada 23 hingga 25 Julai 2024 yang lepas oleh pihak Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) dengan penyertaan selama 3 hari tersebut disertai oleh pihak wartawan dan pengamal media akhbar-akhbar utama.

    Selain itu, aktiviti-aktiviti promosi melalui Tourism Selangor turut diadakan dan kempen promosi melalui Matta Fair Malaysia, Selangor Travel Fair dan Squad Kembara Sekolah dilihat berjaya mempromosi muzium-muzium negeri.

  3. Apakah perancangan Kerajaan Negeri bagi memastikan pusat ini berdaya saing dan mesra pengunjung?

    Institusi permuziuman memegang peranan yang cukup besar dan signifikan dalam melestarikan khazanah warisan sejarah, budaya dan alam semula jadi negeri sebagai bukti ketinggian peradaban bangsa.

    Justeru, gerak kerja pemasaran muzium diperkemas dan dipergiatkan lagi menerusi pelbagai strategi yang berpotensi, termasuk menerusi kolaborasi dengan pelbagai pihak yang terlibat seperti Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Kolej Komuniti, Pejabat Pendidikan Daerah dan lain-lain Persatuan/NGO di peringkat daerah. Rangkaian kerjasama ini sangat penting bagi membolehkan perkongsian maklumat, teknologi serta kepakaran dalam pelbagai bidang dilaksanakan yang akhirnya memberi impak positif kepada pembangunan muzium.

    Selain memperkukuh kapasiti serta keupayaan pameran dan kandungan muzium, Kerajaan Negeri sentiasa memperuntukkan belanjawan setiap tahun secara berperingkat dengan mempertingkatkan kemudahan-kemudahan muzium serta keceriaan bangunan dan kawasan agar peningkatan tahap responsif dan keprihatinan terhadap pemegang taruh, pelanggan dan pelawat muzium semakin tinggi. Dalam perspektif yang lebih luas, muzium berpotensi menggalakkan diplomasi budaya yang akan melahirkan persefahaman yang lebih baik dalam kalangan masyarakat.

Lampiran

Tiada Lampiran.