Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

316) AIR SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Muhammad Hilman Bin Idham

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah purata penggunaan air sehari di Negeri Selangor? Apakah strategi Kerajaan Negeri dalam usaha menggalakkan penjimatan air penggunaan air di Negeri Selangor?

    Pada tahun 2023, purata penggunaan air bagi Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya adalah pada 241 Liter per Kapita Sehari (LCD).

    Air Selangor telah merangka pelan hala tuju bagi tahun 2022 hingga 2025 yang menggunakan pendekatan 4E – “Enable, Engage, Encourage & Exemplify” untuk memperkasakan pemahaman yang lebih mendalam mengenai penjimatan air. Pelan hala tuju ini berfungsi sebagai rangka kerja untuk pembangunan pelan tindakan terperinci yang bertujuan menghasilkan impak positif, di mana setiap penurunan penggunaan air diambil kira – dengan harapan dapat membawa perubahan dalam kehidupan orang ramai.

    Enable

    • Pada tahun 2024, Air Selangor telah berkolaborasi bersama 13 buah sekolah, termasuk Sekolah Rendah, Menengah, dan Sekolah Jenis Kebangsaan di sekitar Selangor, Kuala Lumpur, dan Putrajaya dalam menjalankan program kesedaran, memberikan maklumat terperinci tentang penggunaan air atau LCD dan berkongsi tips jimat air yang boleh dipraktikkan oleh para pelajar di mana jua mereka berada.
    • Selain itu, pada tahun 2024, Air Selangor turut bekerjasama dengan sembilan (9) buah rumah ibadat untuk program kesedaran penjimatan air sebagai salah satu medium untuk mendekati komuniti tempatan dan menyebarkan maklumat mengenai penjimatan air di rumah pengguna. Air Selangor juga telah menjalankan program penukaran pili cekap air di pili wuduk Masjid yang terpilih di sekitar Selangor, Kuala Lumpur & Putrajaya. Program ini adalah sebagai tanda sokongan kepada usaha inisiatif daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk mempromosikan penggunaan pili cekap air yang bertaraf tiga bintang.
    • Kolaborasi bersama Siri Animasi BoBoiBoy (francais popular Malaysia) untuk memperkasakan mesej pemuliharaan air khusus kepada generasi muda.
    • Memberi akses kepada maklumat melalui Buku Panduan Air Air Selangor, yang boleh didapati di laman sesawang Air Selangor.
    • Menyediakan dan memberikan alat penjimatan air secara percuma (seperti bidal air atau water thimbles) kepada orang ramai semasa mengadakan program dan aktiviti bersama pengguna air di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
    • Air Selangor juga mengkaji projek perintis pemuliharaan air untuk menganggarkan penjimatan kos pada masa hadapan melalui kolaborasi dengan institusi pendidikan seperti universiti tempatan.
    • Penambahbaikan aplikasi Air Selangor untuk menyediakan data penggunaan air yang lebih terperinci untuk pengguna, dengan ciri-ciri tambahan gaya hidup dan trend semasa seiring dengan mesej serta tips penjimatan air untuk memberikan pengalaman pelanggan yang lebih baik.

    Engage

    • Mewujudkan kesedaran melalui pelbagai aktiviti penglibatan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), agensi kerajaan, NGO, sekolah dan pertubuhan keagamaan
    • Kerjasama bersama ‘influencer’ alam sekitar dan personaliti terkenal untuk menggalakkan kesedaran pemuliharaan air dalam kalangan orang ramai

    Encourage

    • Air Selangor sedang menyemak semula cara untuk menambah baik aplikasi Air Selangor sekali gus meneliti cara untuk memberi pengiktirafan atau ganjaran kepada pengguna yang memenuhi semua kriteria program penjimatan untuk penggunaan domestik
    • Melalui kolaborasi dengan agensi kerajaan dan NGO secara “strategic partnership”

    Exemplify

    • Mempertimbangkan langkah untuk menambah baik, mengukuhkan dasar serta latihan dalaman berkaitan pemuliharaan air. Ini termasuk kesedaran, dasar dan prosedur serta projek penjimatan air seperti pemasangan sistem penuaian air hujan di pejabat-pejabat Air Selangor.

    Inisiatif-inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha Air Selangor untuk mencapai sasaran nasional dalam mengurangkan penggunaan air dan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan, khususnya yang berkaitan dengan air bersih dan sanitasi (SDG 6).

    Air Selangor sedang mengkaji semula strategi pemuliharaan air bagi memastikan pelan pelaksanaan jangka panjang yang lebih baik bagi 2025 – 2030, seiring dengan sasaran penggunaan air negara, serta merangkumi kerjasama daripada pelbagai pihak, termasuk  komuniti tempatan, NGO, agensi kerajaan pihak SPAN dan lain-lain.

Lampiran

Tiada Lampiran.