Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
280) PERSEDIAAN SUKMA 2026
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah persediaan Kerajaan Negeri untuk SUKMA 2026 dan peruntukan yang diperlukan?
Kerajaan Negeri Selangor telah diberi mandat oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia sebagai Tuan Rumah bagi Temasya SUKMA 2026. Sebagai Tuan Rumah Temasya tersebut, Kerajaan Negeri Selangor telah menetapkan agar penganjuran Temasya SUKMA 2026 ini ianya menjadi penganjur yang terbaik mengikut piawaian penganjuran diperingkat kebangsaan mahupun antarabangsa serta telah menetapkan sasaran Kontinjen Negeri Selangor sebagai Juara Keseluruhan bagi Temasya SUKMA 2026 akan datang. Pembentukan Jawatankuasa Induk, Jawatankuasa Pelaksana dan Jawatankuasa Sekretariat akan dibentuk bagi memastikan pelaksaan Temasya SUKMA 2026 akan lebih tersusun dan perancangan yang dibuatkan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Bagi menjayakan pelaksanaan penganjuran Temasya SUKMA 2026 ianya dianggarkan berjumlah RM 250,000,000.00 melibatkan kos dari aspek antaranya pengurusan sekretariat, persediaan atlet, penyediaan teknikal peralatan kelengkapan pertandingan, perkampungan sukan/makan minum, sistem teknologi ICT/ sistem, logistik/pengangkutan, media/ promosi/protokol, hadiah/cenderamata, keselamatan/kecemasan/ Doping, Majlis Pembukaan/penutup/Majlis makan malam rasmi/ pertandingan golf VIP, Jabatan Angkat/larian obor, sukarelawan, dan infrastruktur/venue pertandingan.
-
Nyatakan bilangan fasiliti yang akan terlibat, rancangan penaiktarafan dan agensi yang terlibat.
Pada peringkat awal ini, Pihak Majlis telah mengenalpasti sejumlah 31 buah venue disekitar Negeri Selangor untuk dijadikan lokasi pertandingan. Ianya akan melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan seperti Majlis Bandaraya Shah Alam / Majlis Bandaraya Subang Jaya / Majlis Bandaraya Petaling Jaya / Majlis Bandaraya DiRaja Klang Majlis Perbandaran Sepang/ Majlis Perbandaran Selayang / Majlis Perbandaran Kuala Selangor / Majlis Perbandaran Kuala Langat, Institut Pengajian Tinggi melibatkan Universiti Teknologi Mara Shah Alam / Politeknik Shah Alam / Universiti Putra Malaysia, Anak Syarikat Kerajaan Negeri seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan Darul Ehsan Facilities Managemant serta beberapa syarikat swasta yang dilihat mempunyi kemudahan atau fasiliti yang sesuai untuk dijadikan venue pertandingan Temasya SUKMA 2026. Buat masa ini tiada cadangan untuk sebarang pembinaan fasiliti mahupun Infastuktur sukan yang baru dan ianya hanya akan melibatkan kerja-kerja naik taraf mahupun baik pulih terhadap venue pertandingan.