Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

273) ISU GISB HOLDINGS (GISBH)

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan Kerajaan Negeri di dalam menangani isu GISB Holdings (GISBH) dan usaha memulihkan kanak-kanak GISBH di Selangor?

    Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah memulakan proses pemulihan akidah terhadap kanak-kanak ahli kumpulan GISBH sejak 1 Oktober 2024 menggunakan modul khas yang dibangunkan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) mulai 23 September 2024. Agensi MAIS iaitu Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), turut menyalurkan keperluan asas termasuk keperluan asas ibadah solat untuk kanak-kanak ini. Modul Pendidikan Islam Insani dapat memantapkan keimanan dan keyakinan terhadap akidah Islam yang benar dan suci.

    MAIS juga telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas bagi menangani Isu GISBH yang dipengerusikan oleh YBhg. Datin Paduka Saudah binti Sulaiman (Anggota MAIS) yang keahlian bagi Jawatankuasa Khas tersebut adalah terdiri daripada beberapa Anggota MAIS termasuk Ex Officio iaitu YB Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Sahibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Sahibus Saadah Pengarah JAIS dan Ketua Polis Selangor. Selain itu, keahlian Jawatankuasa Khas ini terdiri daripada ketua-ketua jabatan seperti, Pengarah Keselamatan Negeri Selangor, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor dan Pengarah Pendidikan Negeri Selangor.  Fungsi Jawatankuasa Khas ini adalah merangka, menyelaras, dan memantau tindakan pemulihan akidah pengikut GISBH (dewasa/ warga emas/ kanak-kanak) yang dilaksanakan di Negeri Selangor.

    Selain itu, JAIS bersama MAIS telah melibatkan empat puluh lima (45) guru-guru JAIS dalam melaksanakan program pemulihan akidah melibatkan kanak-kanak seramai dua ratus sepuluh (210) orang dalam usaha untuk memulihkan kanak-kanak GISBH dengan menyediakan modul-modul pemulihan akidah.

    Dari sudut Penguatkuasaan Undang-Undang pula, JAIS akan mengambil tindakan berhubung pelanggaran peraturan dan undang-undang Syariah sedia ada di negeri ini. Antara perkara yang boleh disiasat adalah berkenaan Seksyen 12 (c) berkaitan melanggar fatwa di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor Tahun 1995 serta siasatan berhubung pernikahan dan perkahwinan ahli anggota GISBH merujuk kepada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor tahun 2003.

Lampiran

Tiada Lampiran.