Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
265) LATIHAN VOKASIONAL, TEKNOLOGI DIGITAL DAN IR 4.0
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Puan Mariam Binti Abdul Rashid
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bagaimana Kerajaan Negeri memastikan kurikulum latihan vokasional kekal relevan dengan perkembangan teknologi IR 4.0?
Kerajaan Negeri melalui Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) menawarkan Program Kemahiran Profesional yang melibatkan kolaborasi bersama beberapa syarikat dan institusi antarabangsa antaranya Siemens.Inc, Apple.Inc, FESTO, Dassault Systemes dan sebagainya. Program ini menjurus kepada permindahan teknologi dengan memberi fokus kepada industri teknologi digital dan pembuatan termaju melalui pembangunan inkubator industri bagi memacu transformasi Revolusi Industri Keempat (IR4.0) dan pendidikan industri.
Melalui program ini, pihak industri akan berkongsi modul program terkini mengikut keperluan pasaran yang tinggi yang boleh diguna pakai di industri utama dalam dan luar negara yang juga memberi peluang pekerjaan di syarikat-syarikat tersebut sekiranya layak. Program ini dapat menggalakkan anak muda untuk mempelopori bidang baru di peringkat pengajian tinggi dan membantu penyediaan tenaga kerja dalam bidang yang berkaitan.
-
Adakah Kerajaan Negeri bekerjasama dengan syarikat teknologi tinggi untuk menyediakan peluang latihan vokasional?
Kerajaan Negeri sentiasa aktif bekerjasama dengan syarikat teknologi tinggi bagi menyediakan peluang latihan vokasional untuk melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang berteknologi tinggi. Melalui Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC), Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai inisiatif dengan kerjasama syarikat global antaranya FESTO, Siemens, dan Dassault Systèmes. Kerjasama ini memberi peluang kepada belia untuk menerima latihan dalam sektor strategik seperti pembuatan, teknologi automotif, dan kejuruteraan elektronik yang memenuhi kehendak industri.
Selain itu juga, STDC juga menjalinkan kerjasama dengan syarikat-syarikat seperti Perodua, volkswagen, Wrightbus Malaysia dan Aerodyne bagi program automotif, Daikin bagi program pemasangan dan penyelenggaraan penghawa dingin serta Yamaha bagi penyelenggaraan motorsikal.
-
Bagaimana kerajaan memastikan latihan vokasional mampu diakses oleh belia luar bandar?
Kerajaan Negeri komited untuk memastikan bahawa belia-belia di kawasan luar bandar tidak akan ketinggalan dalam arus pembangunan, khususnya dalam pendidikan dan latihan kemahiran. Pelbagai inisiatif telah dirangka untuk memastikan akses kepada program latihan berkualiti dalam bidang teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan perisian agar mereka berpeluang bersaing dan berjaya dalam pasaran kerja.
Menyedari bahawa kos pendidikan sering menjadi halangan, Kerajaan Negeri menawarkan bantuan kewangan dalam bentuk Program IKTISASS. Program ini dirancang untuk memberikan peluang yang sama kepada semua golongan belia tanpa mengira latar belakang sosioekonomi. Ini membolehkan belia daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana B40 dan M40 dapat mengikuti kursus-kursus kemahiran tanpa beban kewangan yang tinggi sekaligus membolehkan mereka fokus kepada pembelajaran dan latihan. Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) ini terbuka kepada semua belia yang lahir atau telah menetap lebih 10 tahun di Selangor.