Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

261) KUALA KUBU BAHARU SEBAGAI TAPAK WARISAN KEBANGSAAN

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Puan Pang Sock Tao

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan status pencalonan Kuala Kubu Baharu sebagai Tapak Warisan Kebangsaan oleh Jabatan Warisan Negara.

    Pihak Majlis Perbandaran Hulu Selangor bersama PlanMalaysia Negeri Selangor telah menyediakan Laporan Outstanding Universal Value (OUV) pada tahun 2018 untuk melihat nilai sejagat yang dimiliki oleh Bandar Kuala Kubu Bharu yang boleh diangkat untuk ke Tapak Warisan Dunia UNESCO. Berdasarkan Laporan berkenaan Bandar Kuala Kubu Bharu masih belum mempunyai nilai sejagat yang boleh diangkat untuk pencalonan ke Tapak Warisan Dunia. Oleh yang demikian, pihak MPHS bersama PlanMalaysia Negeri Selangor telah menyediakan Rancangan Kawasan Khas Bandar Kuala Kubu Bharu 2025 yang diwartakan bagi memastikan nilai – nilai warisan sedia ada terpelihara. Untuk makluman, dokumen Rancangan Kawasan Khas adalah dokumen yang disediakan di bawah peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, [Akta 172] yang perlu dipatuhi di dalam pengurusan perancangan bandar.

    Bagi pendaftaran monumen – monumen di dalam Bandar Kuala Kubu Bharu sebagai Bangunan Warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005, [Akta 645], permohonan akan dibuat mengikut monumen berkenaan secara individu dan pihak MPHS juga menggalakkan pemilik bangunan rumah kedai di Bandar Kuala Kubu Bharu yang berminat untuk mendaftar sebagai Bangunan Warisan di bawah Akta yang sama.

  2. Nyatakan tempat-tempat di Kuala Kubu Baharu yang telah diwartakan sebagai warisan negara.

    Terdapat dua bangunan yang telah didaftarkan di dalam Bangunan Warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005, [Akta 645] iaitu:-

    1. Masjid Warisan Al – Hidayah, Ampang Pechah, Kuala Kubu Bharu ; dan
    2. Balai Polis Trafik Bandar Kuala Kubu Bharu.
  3. Apakah usaha kerajaan untuk memelihara Masjid Ampang Pecah sebagai Warisan di bawah Akta 645?

    Masjid Warisan Al – Hidayah, Ampang Pechah, Kuala Kubu Bharu telah didaftarkan sebagai Bangunan Warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005, [Akta 645] pada 2012. Oleh yang demikian, bangunan berkenaan dilindungi di bawah peruntukan akta berkenaan dan sebarang ubahsuai yang dicadangkan perlu mendapat pandangan dan kelulusan daripada Pesuruhjaya Warisan.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.