Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
260) PENDEDAHAN INDUSTRI KEPADA BELIA MUDA
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Mu'izzuddeen Bin Mahyuddin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri memberi pendedahan industri kepada belia muda sebelum mereka menamatkan persekolahan tingkatan 5?
MSNS
Umum mengetahui bahawa bagi pelajar sekolah yang berumur 7 hingga 17 tahun adalah di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan Malaysia dan di peringkat negeri adalah melalui Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS). Kerajaan Negeri sentiasa menyokong segala usaha jabatan bagi memperkasa para belia. Dalam menyediakan para pelajar ke peringkat menyambung pelajaran atau mencari pekerjaan, JPNS telah melaksanakan beberapa program. Antaranya;
- Jerayawara Up-TVET di CIAST dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran Wilayah Tengah.
- Karnival Kerjaya Murid #SUKSES Selangor. Program-program yang dijalankan ini bermatlamat untuk memberi pendedahan dan arah tuju yang boleh dipilih oleh belia lepasan SPM dalam menentukan masa depan.
- Lawatan ke STDC (K.Selangor) oleh sekolah-sekolah Program Vokasional Menengah Atas (PVMA) untuk memberi pendedahan serta perkongsian kepada pelajar.
- Kerjasama dengan kolej kemahiran seperti IKBN Jitra, untuk kemahiran automotif dan motosikal. Kolej TOC untuk Automotif, The Rich Talents (Penyediaan Penyajian Makanan).
- Pendedahan kepada pelajar dalam siri Karnival TVET yang dilaksanakan di peringkat daerah seperti di PPD Kuala Selangor dan PPD Petaling Perdana.
- Penglibatan pelajar-pelajar PVMA ke pertandingan-pertandingan diperingkat negeri, kebangsaan atau antarabangsa. Sebagai contoh SMK Tengku Idris Shah, Klang ke Pertandingan World Skill Malaysia 2023, Junior Skills Malaysia 2023.
SEKSYEN AGIHAN DAN PEMBANGUNAN
Kerajaan Negeri Selangor mengambil inisiatif untuk memberi pendedahan industri kepada belia muda sebelum mereka menamatkan persekolahan tingkatan 5 melalui beberapa program dan kerjasama dengan institusi teknikal serta pihak industri. Antara usaha yang dijalankan adalah dengan menganjurkan program seperti BootCamp TVET Belia Selangor yang memberi peluang kepada pelajar sekolah menengah untuk merasai pengalaman asas dalam bidang teknikal dan vokasional. Program ini bukan sahaja memperkenalkan mereka kepada kemahiran praktikal, tetapi juga meningkatkan kesedaran mereka tentang peluang kerjaya dalam bidang TVET.
Selain itu, Kerajaan Negeri bekerjasama dengan institusi TVET seperti Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) dan pelbagai syarikat industri bagi menawarkan lawatan industri, ceramah kerjaya dan kursus pendedahan jangka pendek. Antara bidang TVET yang di tawarkan di STDC adalah automotif, elektrik, penyamanan udara, motosikal, sistem komputer, tekstil & pakaian, dron, kulinari dan pastri. Usaha ini dapat membantu menarik minat pelajar dalam menceburi bidang teknikal dan dapat memberi pemahaman yang lebih mendalam tentang keperluan industri masa kini. Melalui program-program ini, belia muda Selangor mendapat peluang untuk membuat keputusan yang lebih jelas mengenai laluan pendidikan dan kerjaya yang sesuai setelah menamatkan tingkatan 5.