Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

258) TENAGA HIJAU PUSAT DATA

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Dr. Quah Perng Fei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimana Selangor akan menguruskan penggunaan tenaga elektrik dan air yang tinggi daripada pusat data?

    Dalam usaha Kerajaan Negeri menguruskan penggunaan tenaga elektrik dan air yang tinggi daripada pusat data, perbincangan kumpulan bersasar berkaitan pusat data yang dijalankan juga menyentuh berkenaan pengurusan tenaga elektrik dan air dan telah mendapatkan komitmen daripada TNB dan Air Selangor bahawa bekalan bagi menampung kemasukan pusat data bagi tempoh 10 – 15 tahun akan datang adalah mencukupi.

    Selain itu, operator pusat data sentiasa akan menumpukan usaha dalam penyelidikan dan pembangunan untuk menghasilkan sistem penyejukan dengan kecekapan tinggi untuk memenuhi garis panduan ESG.

    Pada masa ini. Kerajaan Negeri sedang menantikan pengumuman garis panduan pembangunan pusat data dari Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri. Garis panduan itu akan menentukan “power usage effectiveness” (PUE) dan “water usage effectiveness” (WUE).

    Bagi memenuhi pertambahan permintaan keperluan air untuk pengguna semasa serta keperluan pembangunan akan datang untuk pengguna domestik, industri dan komersial termasuklah pusat data, Air Selangor sedang dalam perancangan untuk menambah baik kapasiti infrastruktur bekalan air dengan meningkatkan dan mengekalkan margin rizab air yang tinggi.

    Menjelang tahun 2030, Air Selangor telah merancang untuk membina empat (4) buah Loji Rawatan Air yang baharu bagi menjamin margin rizab yang tinggi seperti yang disasarkan oleh SPAN iaitu melebihi 15%. Air Selangor juga sedang meneroka sumber air alternatif/air pulih guna bagi kegunaan pusat data dalam memastikan bekalan air terawat terjamin dan mampan.

    Bagi bekalan tenaga elektrik pula, sistem bekalan tenaga elektrik sedia ada di Malaysia mempunyai rizab kapasiti bekalan elektrik yang mencukupi untuk menampung keperluan tenaga elektrik yang tinggi daripada pusat data termasuk di Selangor.

  2. Berapa banyak jumlah tenaga eletrik dan air yang dijangka digunakan sebaik projek siap?

    Berdasarkan beberapa sesi libat urus bersama pemegang taruh dan industri yang telah diadakan, hasil kajian mendapati jangkaan keperluan tenaga elektrik dan air yang diperlukan untuk operasi pusat data sedia ada dan baharu untuk jangka masa 10 -15 tahun adalah sebanyak 2.5GW dan 150 juta liter air sehari.

    Setakat ini Air Selangor telah menerima 32 permohonan untuk keperluan pembangunan pusat data dengan jumlah keseluruhan permintaan air sebanyak 202 juta liter sehari (MLD). Pembangunan pusat data ini berbeza mengikut kapasiti, lokasi serta keperluan kuantiti dan kualiti bekalan air. Air Selangor komited untuk menyokong pembangunan baharu, termasuk pusat data, di negeri Selangor.

    Setakat bulan September 2024, keperluan bekalan tenaga maksima dari pengguna pusat data di Negeri Selangor dianggarkan sebanyak 1,000 MW. Walau bagaimanapun, penggunaan bekalan tenaga elektrik bagi pusat data ini mengambil bekalan tenaga elektrik secara berperingkat dalam tempoh 5 tahun hingga 10 tahun mengikut deklarasi dari pihak pengguna.

    Sumber : Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan Tenaga Nasional Berhad.

Lampiran

Tiada Lampiran.