Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
253) PENDIGITALAN SEKTOR PELANCONGAN LUAR BANDAR
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Puan Nurul Syazwani Binti Noh
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah pelan strategik yang telah diambil oleh kerajaan untuk mempercepatkan pendigitalan sektor pelancongan untuk membantu pengusaha luar bandar?
Kerajaan Negeri telah mengambil beberapa langkah strategik untuk mempercepatkan pendigitalan sektor pelancongan, khususnya bagi membantu pengusaha luar bandar. Antara inisiatif tersebut adalah melancarkan platform digital dalam bentuk laman sesawang khas yang mesra gadget seperti telefon pintar dan memudahkan pengusaha pelancongan luar bandar untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka.
Platform digital yang dinamakan visitselangor2025.my ini akan memudahkan orang awam dan pelancong untuk mendapatkan informasi dan promosi pelancongan terkini seperti kalendar acara pelancongan, diskaun dan promosi produk pelancongan, perkongsian konten kreatif dan peraduan khas sempena TMS 2025. Platform digital visitselangor2025.my akan dilancarkan dan boleh mula diakses pada 21 Disember 2024 sempena ‘Grand Launching’ dan Konsert Tahun Melawat Selangor. Pengusaha luar bandar dapat menggunakan platform digital ini untuk melaksanakan kempen pemasaran perniagaan dengan lebih berkesan di mana sasaran audiens dapat dijangkau dengan lebih luas dan kos yang lebih rendah. Di samping itu, teknologi pendigitalan dapat membuka pintu inovasi dalam sektor pelancongan, seperti penggunaan realiti maya, aplikasi mudah alih dan teknologi blockchain untuk transaksi yang lebih selamat.
-
Apakah rancangan kerajaan untuk meningkatkan infrastruktur digital di kawasan pelancongan di lokasi pedalaman dalam memastikan liputan internet yang stabil dan berkualiti?
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri Selangor sedang berusaha untuk menjadikan Selangor sebagai Smart State dengan membina infrastruktur digital yang stabil dan berkualiti, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman. Ini penting untuk menyokong pelancongan dan ekonomi tempatan.
Melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) oleh MCMC, liputan internet sedang ditingkatkan di seluruh negara. Sebelum projek JENDELA pada tahun 2020, liputan di kawasan Tanjung Karang adalah 92.48%. Kini, liputan telah meningkat kepada 98.76% pada Ogos 2024 dengan 8,506 premis dilengkapi infrastruktur gentian optik.
Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, MCMC akan bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk meningkatkan kualiti liputan di kawasan pelancongan utama di Selangor, termasuk kawasan pedalaman seperti Hulu Selangor, Kuala Selangor, dan Sabak Bernam.
Sebagai tambahan, Smartsel Sdn Bhd (SMARTSEL), anak syarikat Kerajaan Negeri, telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk meningkatkan ketersambungan internet di destinasi pelancongan luar bandar, seperti di Selangor Fruit Valley. SMARTSEL juga sedang merangka pelan infrastruktur digital baru untuk meningkatkan ketersediaan internet di kawasan pelancongan, dan seterusnya mengatasi masalah kawasan yang tidak diliputi atau blind spots.
Pihak kami menghargai kerjasama Ahli Yang Berhormat dalam menyalurkan maklumat mengenai kawasan-kawasan pelancongan yang mempunyai liputan lemah, bagi membolehkan maklumat ini disalurkan kepada pihak MCMC bagi mereka melakukan tinjauan dan perancangan penambahbaikan. Aduan juga boleh dibuat terus kepada Pejabat MCMC Negeri Selangor atau melalui pautan di https://aduan.mcmc.gov.my.