Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

234) PEMBANGUNAN SEMULA KAWASAN RENTAN

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Danial Al-rashid Bin Haron Aminar Rashid

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan untuk pembangunan semula kawasan rentan seperti pangsapuri lama?

    • Kawasan perbandaran di Negeri Selangor meliputi kawasan seluas 223,887.02 hektar (28.27%) pada tahun 2022 dan dijangka akan meningkat sehingga 487,610.42 hektar (61%) pada tahun 2035. Terdapat sudut bandar yang usang, ketinggalan dan terpinggir dari arus pembangunan. Pihak Berkuasa Negeri telah mengenal pasti pendekatan pembaharuan semula bandar (urban renewal) sebagai alternatif untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat bandar.
    • Oleh yang demikian, PLANMalaysia Selangor bersama dengan Lembaga Perumahan Negeri Selangor (LPHS) telah menyediakan Garis Panduan Pembaharuan Semula Penempatan Bandar Negeri Selangor yang mana panduan ini telah diluluskan di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor ke 29/2021 bertarikh 8 September 2021.
    • Fokus garis panduan ini adalah untuk membantu Pihak Berkuasa Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, pemaju hartanah dan pihak berkepentingan yang ingin memajukan atau membangunkan semula kawasan penempatan yang terpinggir, usang dan tidak lagi ekonomik untuk meningkatkan imej dan reka bentuk bandar serta kualiti hidup masyarakat bandar.
    • Tiga (3) pendekatan pembaharuan semula telah diperkenalkan untuk dilaksanakan iaitu pembangunan semula bandar (urban redevelopment), penjanaan semula bandar (urban regeneration), dan penyegaran semula (urban revitalisation). Selain itu, turut dicadangkan kaedah pelaksanaan pembaharuan semula yang melibatkan penglibatan pihak swasta yang dengan penawaran insentif seperti memberi diskaun 25% daripada kadar premium tanah nominal yang dikenakan/bayaran khas tanah yang ditentukan oleh PBT dan pengecualian Infrastruktur Service Fund (ISF) bagi projek kediaman yang terlibat dengan program pembangunan pembaharuan semula bandar tertakluk kepada pertimbangan dan perakuan Jawatankuasa Induk Pembaharuan Semula Bandar yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan & Kehidupan Bandar.
  2. Apakah perancangan untuk pembangunan semula kawasan berisiko banjir seperti Padang Jawa dan Seri Muda?

    1. Pihak Majlis Bandaraya Shah Alam melalui Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Shah Alam 2035 (Penggantian) telah menandakan kawasan berisiko banjir dalam Pelan Risiko Bencana terutama di sepanjang Sungai Klang. Selain itu, di bawah strategi pembangunan guna tanah fizikal yang seimbang dan lestari, rancangan tempatan telah mencadangkan untuk menjalankan program pelaksanaan pencegahan banjir yang melibatkan beberapa fasa perancangan untuk dilaksanakan.
    2. Perancangan dan usaha in-situ juga sedang giat dijalankan bagi mengelakkan peristiwa bencana banjir besar sekitar tahun 2021 berulang kembali. Antara usaha yang dilaksanakan oleh pihak Landasan Lumayan Sdn. Bhd. dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia adalah dengan melaksanakan kerja-kerja mendalamkan dan melebarkan sungai selain kerja-kerja pengukuhan tebing dan flood wall.
  3. Berapakah kos kajian pembangunan semula yang telah dibelanjakan?

    Bagi penyediaan Garis Panduan Pembaharuan Semula Penempatan Bandar Negeri Selangor pada tahun 2018 telah disediakan secara in-house bersama Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor serta agensi-agensi teknikal yang berkaitan.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.