Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
233) STRUKTUR TELELEKOMUNIKASI
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Leong Tuck Chee
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri dapat mengarahkan supaya pembinaan struktur telekomunikasi dilarang dibina di dalam kawasan taman rekreasi untuk mengelakkan pengambilan tanah hijau?
- Kerajaan Negeri boleh mengarahkan pembinaan struktur pemancar komunikasi dilarang untuk dibina di kawasan taman rekreasi. Walau bagaimanapun, dengan menghadkan ruang penyediaan struktur pemancar akan menyebabkan berlakunya kelompongan rangkaian di dalam radius liputan perkhidmatan rangkaian serta menyumbang kepada gangguan rangkaian kepada pengguna di kawasan berhampiran taman rekreasi tersebut.
- Umum mengetahui, negara sedang dalam peralihan kepada teknologi generasi kelima (5G) yang memerlukan struktur pemancar komunikasi disediakan lebih banyak bagi memastikan ekosistem jaringan yang konsisten dan stabil. Hal ini berikutan lingkungan radius liputan daripada pemancar 5G (radius 250 – 350 meter) adalah lebih kecil daripada lingkungan radius liputan 4G (radius 1,500 meter).
- Oleh yang demikian, pemasangan struktur 5G yang lazimnya berketinggian 18 meter ke 24 meter perlu berada lebih dekat antara satu sama lain untuk memberi liputan yang optimum terutamanya bagi kawasan yang berpenduduk (populated area).
- Tindakan ini perlu bagi menampung keperluan penggunaan perkhidmatan komunikasi yang tinggi di kawasan bandar atau yang berkepadatan tinggi. Isu yang sering timbul adalah kekangan kawasan (space constrain) yang menyebabkan struktur pemancar komunikasi perlu dibina di taman rekreasi bagi mengelak berlakunya kelompongan rangkaian.
- Namun begitu, bagi meminimumkan impak visual, kacau ganggu serta pengharmonian kawasan sekitar taman rekreasi, pemasangan Infrastruktur Komunikasi Berskala Kecil (IBK) dan pemasangan struktur pemancar komunikasi jenis smart pole secara guna sama dengan fungsi-fungsi lain seperti pembesar suara, kamera CCTV, lampu jalan / lampu awam atau display board boleh dijadikan sebagai alternatif tertakluk kepada pematuhan jarak minimum antara struktur pemancar dan sisi bangunan terdekat sedia ada.
- Untuk makluman Dewan yang mulia, pembinaan struktur pemancar komunikasi di taman rekreasi tanah milik kerajaan tidak melibatkan pengambilan tanah hijau (kawasan hijau), sebaliknya pembinaan struktur tersebut adalah bersifat sementara dan ianya perlu mendapatkan kelulusan pajakan / lesen pendudukan sementara (LPS) serta kelulusan permohonan permit sementara banguna
-
Nyatakan garis panduan pembinaan struktur telekomunikasi.
- Perancangan dan pembangunan struktur sistem pemancar komunikasi sama ada di atas tanah milik persendirian atau kerajaan, atas bangunan/binaan serta lain-lain jenis struktur sistem pemancar adalah berlandaskan kepada peruntukan undang-undang dan dasar-dasar yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri.
- Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor (PLANMalaysia Selangor) juga telah menerbitkan Garis Panduan Perancangan Menara dan Struktur Sistem Pemancar Komunikasi Di Negeri Selangor 2019 dan telah diluluskan dan disahkan pemakaiannya oleh MMKN ke 1/2020 pada 8 Januari 2020.
- Garis panduan ini telah dijadikan panduan oleh semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Selangor, syarikat telekomunikasi dan syarikat yang mempunyai lesen penyedia rangkaian (Network Facility Providers) dalam mengawal perancangan dan pembangunan semua jenis pemancar di atas tanah dan struktur sistem pemancar komunikasi di atas bangunan, multi-fungsi serta lain-lain jenis struktur komunikasi.
- Garis panduan ini turut menggariskan tatacara permohonan kebenaran merancang, permit sementara dan permohonan pajakan atau LPS bagi pembinaan struktur pemancar komunikasi yang seragam disamping menjaga kepentingan umum khususnya dari faktor keselamatan awam merangkumi aspek keperluan peletakan, anjakan, saiz dan fungsi serta lokasi tapak rizab struktur serta digunapakai bagi semua generasi (Generation – G) sama ada 2G, 3G, 4G, 5G dan seterusnya.
- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga telah menerbitkan Garis Panduan Perancangan Infrastruktur Komunikasi (GPP-i) Tahun 2022 bertujuan bagi menambah baik aspek perancangan pembangunan yang lebih mampan dan memudah cara proses pemasangan infrastruktur komunikasi.
- Penekanan telah diberikan kepada aspek perancangan penyediaan infrastruktur komunikasi di dalam kawasan pembangunan baharu, pembangunan semula serta kawasan pembangunan sedia ada selaras dengan amalan perancangan yang terbaik. Selain itu, pengkelasan status sesuatu permohonan pemasangan sistem pemancar komunikasi di bawah kategori Infrastruktur Komunikasi Berskala Kecil (IBK) turut dilaksanakan.
- Untuk makluman Dewan Yang mulia juga, bagi memastikan Garis Panduan Perancangan Menara dan Struktur Sistem Pemancar Komunikasi Di Negeri Selangor ini terus seiring dengan perubahan dasar / polisi dan perkembangan semasa, garis panduan ini juga sedang di dalam proses pindaan dan pengemaskinian dengan mengambilkira keputusan MMKN Ke-30 Tahun 2023 dan MMKN Ke-14 Tahun 2024 yang memutuskan supaya garis panduan ini diselaraskan dengan perkara-perkara berikut :
- Permohonan Mendapatkan Kelulusan Tapak Bagi Tujuan Menara dan Struktur Sistem Pemancar Komunikasi Di Atas Tanah Rizab Kerajaan Negeri Selangor;
- Pelaksanaan Permit Khas Penggunaan Sementara Tanah Pertanian Yang Digunakan Selain Daripada Tujuan Pertanian Bagi Pembinaan Menara dan Struktur Sistem Pemancar Komunikasi Di Negeri Selangor; dan
- Garis Panduan Perancangan Infrastruktur Komunikasi (GPP-I) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
- Pemurnian yang dibuat adalah berdasarkan keseimbangan dan kesesuaian polisi serta dasar semasa kerajaan negeri yang berkuatkuasa ke arah aspirasi Ease Of Doing Business agar sasaran kerajaan negeri untuk menyediakan akses internet rangkaian 5G ke seluruh kawasan yang berpenghuni termasuk di luar bandar menjelang tahun 2025 ke arah mencapai matlamat negeri pintar dapat direalisasikan dengan jayanya.