Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

230) PERUSAHAAN MIKRO KECIL DAN SEDERHANA (PMKS)

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Muhammad Hilman Bin Idham

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah kadar pertumbuhan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) kepada KDNK Negeri Selangor bagi tahun 2023? Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk memberdaya PMKS di Negeri Selangor?

    Untuk Makluman Yang Berhormat, pihak Kerajaan Negeri tiada maklumat berkenaan kadar pertumbuhan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Selangor bagi tahun 2023. Namun begitu, berdasarkan Laporan Sosioekonomi Negeri Selangor Tahun 2023 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Negeri Selangor menunjukkan peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) paling pesat dengan peningkatan 5.4% bagi tahun 2023 dengan nilai KDNK berjumlah RM406.1 billion.

    Dari aspek komposisi ekonomi Selangor pada tahun 2023, sektor Perkhidmatan mendominasi ekonomi negeri ini dengan menyumbang sebanyak 61.0 peratus. Seterusnya, sektor Pembuatan dan Pembinaan masing-masing menyumbang sebanyak 29.4 peratus dan 4.9 peratus. Sektor Pertanian pula mencatatkan sumbangan sebanyak 1.1 peratus, diikuti sektor Perlombongan dan Pengkuarian yang menyumbang 0.2 peratus kepada KDNK negeri ini.

    Data ini secara langsung menunjukkan bahawa PMKS memainkan sumbangan yang besar dalam pertumbuhan KDNK Negeri.

    Dalam pada itu, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Keusahawanan dan agensi-agensi yang terlibat menyediakan pelbagai inisiatif dan insentif bagi memberdayakan PMKS di Negeri Selangor. Antara inisiatif kerajaan yang ditawarkan adalah pemberian geran, pembiayaan, latihan dan promosi keusahawanan. Perincian program adalah seperti berikut:

    • Geran Dana Usahawan Madani Selangor (DUMS)

    Dana ini merupakan program khas dalam bentuk mesin atau peralatan untuk membantu usahawan di Negeri Selangor bagi meningkatkan hasil pengeluaran produk dan jualan. Sebanyak RM2.4 juta telah diperuntukkan untuk program DUMS pada tahun 2024. Setiap pemohon yang menepati syarat dan kelayakan yang ditetapkan berpeluang untuk dipertimbangkan untuk menerima bantuan sehingga RM30,000.00.

    • Program Pinjaman Mikrokredit Hijrah Selangor

    Yayasan Hijrah Selangor (YHS) telah menyediakan pembiayaan mikro kredit sejak tahun 2015. Program ini bertujuan untuk membantu Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS) yang menghadapi masalah kekurangan modal dan memerlukan peluang untuk mendapatkan dana tambahan. Pembiayaan mikro kredit ini terdiri daripada Skim iBisnes dan Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI), dengan kelulusan maksimum sehingga RM50,000.00, mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.

    • Program Selangor 1000 Digital

    Penganjuran program ini dengan kerjasama SIDEC adalah untuk mendigitalisasikan 1000 usahawan di Negeri Selangor. Sehingga kini, sebanyak lima (5) daerah telah terlibat iaitu Petaling, Sabak Bernam, Sepang, Hulu Langat dan Gombak dengan penyertaan 1,620 orang dari seluruh negeri Selangor.

    Melalui kempen ini, usahawan mendapat manfaat melalui penggunaan teknologi dan penyelesaian digital bagi meningkatkan potensi dan pendapatan usahawan melalui platform digital. Usahawan juga boleh dilatih untuk menjadi hos penstriman langsung (live seller) yang boleh menjana pendapatan melalui platform digital.

    • Program U-PLATS

    Program Pembangunan Usahawan PLATS (U-PLATS) merupakan program latihan yang ditawarkan di setiap kawasan mengikut Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mempersiapkan peniaga ke arah digitalisasi. Program U-PLATS menawarkan beberapa fasa dan modul khas dalam membantu melahirkan usahawan yang berdaya saing.

    • Program Selangor Export Day

    Program ini dijalankan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk memberi pendedahan kepada usahawan Selangor dalam usaha untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat pasaraya besar tempatan dan antarabangsa.

    • Ekspo/ Pameran Keusahawanan

    Salah satu inisiatif bagi mengembangkan lagi pasaran produk para usahawan di Negeri Selangor adalah melalui penyertaan dalam ekspo dan pameran di dalam dan luar negeri. Usahawan yang berkelayakan akan ditawarkan untuk menyertai ekspo/ pameran ini bagi mewakili delegasi Negeri Selangor di ekspo/ pameran tempatan seperti ekspo MIHAS di MITEC Kuala Lumpur atau ekspo antarabangsa seperti China-Asean Expo (CAEXPO) di Nanning China dalam memasarkan produk dan meningkatkan pendapatan.

Lampiran

Tiada Lampiran.