Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

215) KESIHATAN MENTAL

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Dr. Quah Perng Fei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah polisi dan strategi untuk memantau kesihatan mental dalam kalangan pelajar sekolah?

    Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor ambil maklum keprihatinan Yang Berhormat berkaitan isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar sekolah.

    JPN Selangor sentiasa memandang serius mengenai isu kesejahteraan mental murid sekolah dan menjalankan pemantauan kepada murid berisiko iaitu bagi kategori Krisis dan Khusus. Intervensi turut dilaksanakan di peringkat sekolah bagi memastikan murid-murid kekal terpelihara kesejahteraan emosi dan diri. Sebarang pengesanan murid berisiko (kategori krisis dan khusus) yang dikenalpasti melalui Saringan Minda Sihat akan dibantu oleh Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK) di sekolah masing-masing dengan kadar segera .

    Untuk makluman Yang Berhormat, JPN Selangor sangat komited dan sentiasa merujuk kepada Garis Panduan Pelaksanaan Program Minda Sihat di sekolah. Polisi dan strategi untuk memantau kesihatan mental murid sekolah sangat penting untuk memastikan mereka mendapat sokongan psikologi dan emosional. Berikut adalah beberapa polisi dan strategi yang dapat diambil untuk memantau kesihatan mental dalam kalangan murid:

    1. Garis Panduan Pelaksanaan Program Minda Sihat Sekolah.

    Pihak sekolah melalui Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBK) memberi penekanan kepada meningkatkan kesedaran kesejahteraan sosioemosi dan mental murid. UBK memberikan pendidikan melalui intervensi yang bersesuaian sama ada secara khusus atau umum dalam meningkatkan keupayaan murid meregulasi emosi dan kemahiran gaya daya tindak dengan baik. Saringan juga dijalankan untuk mengenal pasti tanda-tanda awal yang dialami oleh murid dan merujuk murid yang mengalami masalah emosi, psikologi dan mental kepada pihak yang bertanggungjawab dengan prosedur yang betul

    1. Latihan Kepakaran kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK).

    Di setiap sekolah mempunyai sekurang-kurangnya seorang Guru Bimbingan Kaunseling yang terlatih untuk memberi sokongan kepada murid yang memerlukan perhatian. Mereka ini berperanan sebagai orang yang dapat dipercayai oleh murid untuk berkongsi masalah mereka. GBK sekolah akan menjalankan sesi kaunseling secara berkala kepada murid berisiko (kategori krisis dan kursus) yang menghadapi tekanan atau memerlukan bantuan dalam menangani isu berkaitan kesejahteraan mental.

    1. Saringan Minda Sihat dijalankan setiap tahun secara berkala untuk murid bagi mengenalpasti sebarang tanda-tanda awal yang dihadapi oleh murid. Saringan ini boleh membantu mengenal pasti murid yang berisiko lebih awal, dan tindakan yang bersesuaian boleh diambil sebelum masalah menjadi lebih serius.
    2. Kerjasama berterusan dengan Ibu Bapa.

    Makluman kepada ibubapa/ penjaga melalui promosi minda sihat di sekolah berkenaan kesedaran penjagaan diri dan mental bagi menyokong kesejahteraan emosi anak-anak mereka. Selain itu, konsultasi dijalankan bersama ibu bapa/ penjaga yang telah dikenal pasti bagi membincangkan tindak susul selanjutnya dalam membantu anak-anak.

    1. Memperkasakan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) di sekolah.

    PRS dilatih untuk menjadi “peer support” bagi rakan sebaya yang mungkin memerlukan sokongan. Selaras dengan cogan kata #kitakansahabat dalam membantu rakan-rakan agar merasa lebih selesa untuk berkongsi masalah dengan rakan sebaya yang dipercayai.

    1. Jaringan dan Jalinan bersama Agensi Kesihatan.

    Pihak sekolah atau ibubapa membuat rujukan segera kepada klinik kesihatan bagi murid yang menunjukkan tindakan kecenderungan memudaratkan diri. Selain itu, penglibatan bersama agensi Kesihatan dalam mempromosi kesedaran penjagaan kesejahteraan mental di peringkat sekolah, daerah dan juga negeri.

     

  2. Apakah program untuk mencegah pelajar sekolah daripada ambil tindakan bunuh diri?

    JPN Selangor telah melaksanakan pelbagai program/ kaedah bagi membantu dalam pencegahan pelajar sekolah daripada mengambil tindakan bunuh diri. Antara program /kaedah yang telah dilaksanakan adalah:

    1. PROGRAM KEPADA MURID SEKOLAH

    1.1    Program Minda Sihat dilaksanakan sebagai langkah pencegahan masalah emosi, memperkasa sosioemosi, menyokong kesejahteraan mental dan melaksanakan intervensi dalam membantu murid meningkatkan kemahiran gaya daya tindak dengan baik serta merujuk murid yang dikenal pasti kepada pihak yang bertanggungjawab dengan prosedur yang betul. Program ini bertemakan “Minda Sihat : Emosi Terjaga, Kehidupan Sejahtera” bagi meningkatkan kesedaran warga institusi pendidikan tentang kepentingan penjagaan kesejahteraan sosioemosi dan mental. Program minda sihat disekolah dibahagikan kepada 5 strategi iaitu promosi, saringan, intervensi, konsultasi dan rujukan. Pelbagai pendekatan dan kaedah yang dijalankan oleh Guru Bimbingan Kaunseling (GBK) di sekolah seperti:

    1.1.1            Poster Talian Sokongan Psikososial

    1.1.2            Teknik Relaksasi

    1.1.3            Latihan Pernafasan

    1.1.4            Sudut/ Lorong/ Laman Minda Sihat

    1.1.5            Senaman Energizer

    1.1.6            Pertandingan Terbuka

    1.1.7            Saringan Minda Sihat

    1.1.8            Sesi kaunseling individu / kelompok

    1.1.9            Modul Intervensi : PRISMA

    1.1.10        Konsultasi ibu bapa/ penjaga

    1.1.11        Rujukan kepada klinik/hospital

    1.2    Program Intervensi Minda Sihat (PRISMA) mengikut zon tengah. Seramai 90 orang murid (30 menengah atas, 30 menengah rendah dan 30 sekolah rendah) telah menyertai program ini dengan jayanya. Tujuan utama PRISMA adalah membantu murid sasaran (kategori berisiko: krisis dan khusus) meregulasi emosi dengan baik dan mengetahui kemahiran gaya daya tindak yang betul dan positif.

    1.3        PRS Konvensyen Minda Sihat #Kitakansahabat. Seramai 20 orang Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) telah terlibat sebagai peserta bagi mengikuti Modul Real: Modul Kolaboratif “Social Emotional Learning” (SEL) bersama UKM. Melalui modul ini, PRS diajar cara yang sesuai dalam mengurus emosi menggunakan pendekatan permainan dan juga VR (virtual reality). PRS yang hadir diberi peranan sebagai agen penyampai dan akan membawa pulang ilmu serta kemahiran yang dipelajari kepada rakan-rakan mereka di sekolah.

    1. PROGRAM KEPADA GURU BIMBINGAN KAUNSELING DI SEKOLAH

    2.1     Latihan Kepakaran Guru Bimbingan Kaunseling #111 Pemantapan Profesionalisme Pegawai Perkhidmatan Pendidikan- kesejahteraan Psikologi dengan kerjasama Sektor Psikologi dan Kaunseling. Program ini dijalankan bagi meningkatkan kemahiran kaunseling dikalangan guru bimbingan dan kaunseling dalam membantu pengendalian kes berkaitan bunuh diri dan gangguan seksual. Selain daripada itu, guru-guru juga diberikan pendedahan tentang tindak susul serta intervensi yang bersesuaian dan berkesan kepada murid yang berisiko.

    2.2       Program Kesejahteraan Mental Remaja Negeri Selangor: Hala tuju dan Intervensi dengan kerjasama Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Usahawan Bumiputera Anak Selangor. Seramai 80 orang Guru bimbingan kaunseling (GBK) diberikan input berkenaan isu dan halatuju kesejahteraan mental murid di sekolah serta intervensi yang dapat membantu murid dalam meregulasi emosi diri yang positif.

    2.3             Bengkel Pembangunan Kompetensi Guru Bimbingan dan Kaunseling Negeri Selangor yang dijalankan mengikut 10 daerah iaitu Klang, Kuala Langat, Hulu Langat, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Gombak, Petaling Perdana, Petaling Utama, Sabak Bernam dan Sepang. Slot khas berkaitan pengurusan krisis kes-kes khas terutamanya mencederakan diri dan membunuh diri.

Lampiran

Tiada Lampiran.