Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
204) PENYELENGGARAAN TASIK
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Nushi Bin Mahfodz
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah langkah untuk memastikan pembangunan yang dilaksanakan di kawasan tasik mematuhi prinsip-prinsip kelestarian alam sekitar?
Untuk makluman Yang Berhormat, Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) yang diperkenalkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia menekankan prinsip-prinsip kelestarian alam sekitar dalam pengurusan saliran dan air hujan. Beberapa prinsip utama kelestarian dalam MSMA adalah seperti berikut:-
- Pengurusan Air Hujan di Sumbernya (Source Control): Menggalakkan pengurusan air hujan di lokasi asal untuk mengurangkan aliran air permukaan (runoff) dan mengelakkan masalah banjir serta hakisan.
- Infrastruktur Saliran Mesra Alam: Menggunakan struktur seperti kolam takungan, saliran bioretensi, dan saliran semulajadi untuk menguruskan aliran air hujan dengan cara yang menyerupai proses semula jadi, sekaligus melindungi ekosistem akuatik.
- Pengurangan Pencemaran: Mengendalikan air hujan sedemikian rupa untuk mengurangkan pencemaran sebelum ia memasuki sungai, tasik, atau badan air lain. Ini termasuk sistem penapisan awal dan kolam takungan yang membantu memerangkap sedimen dan bahan pencemar.
- Pengekalan dan Pemuliharaan Hidupan Liar dan Habitat Asli: MSMA mengutamakan reka bentuk yang memelihara habitat semula jadi dan biodiversiti, dengan matlamat untuk mengintegrasikan elemen semulajadi dalam persekitaran urban.
- Penggunaan Semula dan Penyerapan Semula (Reuse and Recharge): Prinsip ini bertujuan menggalakkan penyerapan air ke dalam tanah untuk memperbaharui air bawah tanah serta penggunaan semula air hujan bagi mengurangkan permintaan ke atas sumber air bersih.
Sehubungan itu, pematuhan prinsip-prinsip dari jabatan dan agensi lain juga perlu diambil perhatian oleh pihak pemaju ke atas sebarang pembangunan yang dicadangkan di kawasan tasik.
-
Adakah penyelenggaraan tasik dibuat secara berkala agar penduduk dapat menjalankan aktiviti riadah?
Untuk makluman Yang Berhormat, pembinaan kolam takungan banjir atau kolam tadahan di bawah selenggaraan JPS adalah untuk tujuan menampung sementara air larian hujan sebelum dilepaskan ke sungai berhampiran bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan sekitar. JPS melaksanakan kerja penyelenggaraan kolam secara berkala tahunan bagi memastikan kapasiti kolam mencukupi untuk menampung air larian permukaan.
Bagi penggunaan kolam/ tasik untuk aktiviti riadah adalah di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
-
Apakah prosedur untuk jadikan Taman Tasik Semenyih sebagai pusat rekreasi agro pelancongan?
Pihak Majlis telah menyediakan kertas cadangan pembangunan semula Taman Tasik Semenyih untuk dinaiktaraf menjadi kawasan rekreasi berstatus taman awam. Tindakan selanjutnya adalah untuk memohon peruntukan bagi menjayakan cadangan yang telah disediakan. MPKj akan membantu dari segi promosi dan juga program-prpgram usahasama bersama agensi berkaitan seperti Tourism Selangor, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan lain-lain lagi.