Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

198) MEMPROMOSIKAN PRODUK BUATAN PUSAT WANITA BERDAYA (PWB)

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan berhasrat untuk mewujudkan platform perniagaan seperti pasar kreatif, pasar budaya atau platform atas talian untuk mempromosikan produk buatan PWB?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Wanita Berdaya Selangor (WBS) menganjurkan Program Pembangunan Produk HASSEL (Hasil Suri Selangor) pada setiap tahun bermula pada tahun 2021. Bagi tahun 2024, Program HASSEL akan dilaksanakan pada 27 November hingga 3 Disember 2024 di Pesta Buku Antarabangsa Selangor. Dalam program tersebut, para penyelia Pusat Wanita Berdaya (PWB) akan memasarkan pelbagai produk PWB DUN yang telah dihasilkan oleh para peserta yang pernah menyertai program PWB.

    Selain itu, WBS juga telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Khadijah International Waqf (L) Foundation bagi pelaksanaan Program Pembangunan Dana Ekonomi Wanita (DEW). Program DEW menyediakan latihan pemasaran bagi memastikan produk-produk kraftangan yang dihasilkan oleh PWB standing dengan standard antarabangsa. Peserta yang terpilih juga akan berpeluang untuk memasarkan produk mereka di Menara Merdeka 118.

    Seterusnya, para penyelia PWB DUN menggunakan pelbagai platform digital bagi memasarkan produk-produk mereka secara atas talian termasuklah di media sosial dan platform e-commerce.

  2. Apakah usaha kerajaan yang lain untuk mempromosikan produk-pruduk PWB?

    Antara kaedah yang digunakan dalam membantu mempromosikan produk PWB ialah dengan menggalakkan agensi dan anak syarikat menggunakan produk-produk PWB sebagai cenderahati bagi organisasi mereka. Pihak WBS sedang dalam perancangan untuk mengeluarkan katalog produk PWB secara digital dan bercetak yang akan diagihkan kepada agensi dan anak syarikat di negeri Selangor.

    Selain itu, WBS dengan kerjasama The Asia Foundation membuka peluang kepada usahawan wanita bagi menjalani latihan perniagaan secara terus dengan usahawan yang telah berjaya. Platform tersebut dapat membantu usahawan membina jaringan perniagaan seterusnya dapat memperkenalkan produk yang telah dihasilkan.

    Seiring dengan Tahun Melawat Selangor 2025, antara usaha yang akan diteroka oleh WBS ialah dengan mempromosi produk PWB seperti songket dan batik dalam bentuk beg tangan, clutch dan juga tudung yang mampu mengetengahkan identiti Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.