Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
172) KESIHATAN
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Dr. Quah Perng Fei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah nilai komersial untuk industri vaping di Negeri Selangor?
Yang Berhormat sekalian, untuk makluman, tiada sebarang data nilai komersial untuk industri vaping Negeri Selangor dapat dikemukakan. Walaubagaimanapun, menurut kajian yang dijalankan oleh Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), anggaran nilai runcit industri vape Malaysia adalah sebanyak RM3.48 bilion pada tahun 2023.
Sebagai makluman tambahan, Kerajaan Negeri kekal berpendirian agar tiada sebarang pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan penjualan vape di Negeri Selangor selaras dengan keputusan MMKN ke-33/2018 bertarikh 26 Oktober 2018 dan keputusan MMKN ke-2/2016 bertarikh 13 Januari 2016.
-
Bagaimanakah kerajaan Selangor memantau industri vape dari segi pelesenan dan kesihatan?
Kerajaan Negeri Selangor akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa Persekutuan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dalam usaha pemantauan penggunaan rokok elektronik atau vape dari aspek kesihatan. Selari dengan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852] yang telah diwartakan pada 2 Februari lalu dan berkuat kuasa bermula 1 Oktober 2024, langkah-langkah pemantauan yang bersesuaian akan dibincangkan bersama pihak JKNS. Antara langkah pemantauan yang bersesuaian untuk dilaksanakan adalah seperti berikut:
- Pemantauan terhadap isi kandungan cecair rokok elektronik, terutamanya kadar kandungan nikotin dan bahan kimia lain yang memberi kesan buruk kepada kesihatan;
- Pengawasan ke atas penggunaan rokok elektronik di tempat awam, terutamanya di sekolah, hospital dan premis makanan; dan
- Meningkatkan hebahan berkaitan kesan buruk penggunaan rokok elektronik kepada kesihatan di tempat tumpuan awam dan lokasi strategik.
-
Apakah rancangan dan program untuk mencegah remaja daripada membeli produk vape?
Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 mendapati penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan remaja berumur 13 sehingga 17 tahun mencatatkan peningkatan ketara iaitu 14.9 peratus pada tahun 2021 berbanding 9.8 peratus pada tahun 2017. Justeru itu, Kerajaan Negeri dengan kerjasama agensi seperti JKNS dan lain-lain agensi berkaitan akan meningkatkan kempen kesedaran dan advokasi berkaitan kesan penggunaan rokok elektronik kepada kesihatan. Kempen ini akan dilaksanakan di pusat pendidikan dan kawasan tumpuan golongan remaja seperi pusat membeli belah dan taman rekreasi.
Kempen kesedaran ini juga akan dilaksanakan bersama dengan ketua komuniti dan sukarelawan kesihatan seperti Sukarelawan Kesihatan Negeri Selangor (SUKA) kerana mereka berperanan sebagai penghubung antara penduduk dan pihak berkuasa, serta bertanggungjawab untuk mengurus dan membimbing masyarakat di kawasan mereka.
Selain itu juga, tindakan penguatkuasaan yang berkesan juga memainkan peranan yang penting bagi memastikan penjual yang menjual rokok elektronik kepada individu di bawah umur 18 tahun boleh dikenakan tindakan undang-undang, termasuk denda atau hukuman lain.