Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

151) PENGURUSAN SUMBER AIR

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Mengambil kira pola hujan yang semakin lebat dan ramalan kemarau pada tahun 2025, apakah tindakan kerajaan untuk mengurus sumber air dengan lebih cekap?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui LUAS sentiasa siap siaga dengan langkah persediaan menghadapi kemarau walaupun pola hujan lebat yang berlaku di kawasan Lembah Klang. Sejak tahun 2021 pihak LUAS telah mengenalpasti 100 kolam sebagai sumber air alternatif untuk menakung air hujan semasa hujan lebat, dan digunakan sebagai sumber tambahan semasa kemarau. Taburan hujan lebat yang berterusan berlaku di kawasan hilir (downstream) sungai ini dioptimumkan tanpa keperluan kepada pelepasan air empangan bagi mengelakkan kesan kepada banjir. Sementara itu bila berlaku kekurangan hujan atau kemarau, melalui pemantauan rapi paras air empangan, paras air sungai, kadar hujan harian, dan keupayaan kolam-kolam sumber air alternatif negeri, bekalan sumber air (air mentah) negeri dianggarkan mampu bertahan sehingga 9 bulan tanpa hujan. Pada masa ini kajian giat dilakukan bagi menggunakan sumber air bumi untuk menambah lagi kepada lebih 1 tahun sumber air di Selangor.

  2. Apakah tindakan / teknologi kerajaan untuk menyalurkan air hujan sebagai persediaan menghadapi kemarau?

    Pendekatan Kerajaan Negeri Selangor pada waktu ini adalah mengoptimumkan kadar hujan yang diterima melalui takungan kolam alternatif sebagai sumber air terus kepada loji rawatan air (LRA). Antara LRA yang mendapat sumber air mentah dari kolam alternatif ini dan telah beroperasi ialah LRA Semenyih 2 yang menjadikan kolam C sebagai sumber air mentah terus ke loji dengan kapasiti 100 juta liter sehari (JLH) dan Kolam Labohan Dagang (Kolam MC8 dan MC9) membekalkan air mentah ke LRA Labohan Dagang sebanyak 200 JLH. Sementara itu projek terkini yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri adalah projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) di Sungai Langat dan Sungai Selangor serta pembangunan LRA Sungai Rasau yang sedang dalam peringkat pembinaan dengan menggunakan 9 kolam takungan daripada hujan di kawasan Sungai Rasau dan Sungai Klang.

  3. Berapakah peruntukan yang disediakan?

    Kos terlibat bagi pembinaan LRA Semenyih 2 dan LRA Labuhan Dagang adalah sebanyak RM 800 juta yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri. Pelaksanaan projek SJAM telah diluluskan di dalam Bajet 2023 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM 323 juta. Manakala Projek LRA Sg Rasau – Peringkat 1 dan paip agihan dengan peruntukan sebanyak RM 3.3 bilion oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan lebih RM 1 bilion oleh Kerajaan Persekutuan untuk kerja-kerja sumber air (source works). Manakala kajian projek lain bagi pembinaan infrastruktur untuk air masuk (inlet) dan air keluar (outlet) bagi baki dari 100 kolam alternatif yang lain untuk tempoh pembinaan 5 hingga 10 tahun dianggarkan sekitar RM 140 juta peruntukan.

Lampiran

Tiada Lampiran.