Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

149) HASIL KAJIAN KOMPETENSI UNDANG-UNDANG SYARIAH DI SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Mohd Shafie Bin Ngah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah hasil kajian kompetensi undang-undang syariah di Selangor sebagaimana yang diarahkan oleh MKI?

    Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Menggubal Undang-undang Islam (Jawatankuasa Khas) ditubuhkan oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia bagi melaksanakan kajian berhubung dengan isu kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang syariah serta bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah butiran 1, Senarai II, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Jawatankuasa Khas tersebut diberi tempoh setahun untuk melaksanakan kajian yang berkaitan.

    Berdasarkan maklumat yang diterima daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang bertindak sebagai urus setia Jawatankuasa Khas ini, Kertas Makluman Gerak Kerja Jawatankuasa Khas ini telah dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-71 pada 15 Februari 2024 dan pre-council Majlis Raja-Raja pada 20 Februari 2024. Kertas Laporan Eksekutif Jawatankuasa Khas tersebut juga telah dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-72 pada 23 Ogos 2024.

    Berdasarkan kajian yang dijangka berakhir pada 14 November 2024, Jawatankuasa Khas tersebut dalam proses akhir penyediaan hasil kajian lengkap dan pandangan terhadap semua isu yang berbangkit. Laporan akhir ini akan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam dan Majlis Raja-Raja untuk perkenan sebelum dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

    Kajian dan pengesyoran oleh Jawatankuasa Khas tersebut sangat signifikan dalam membantu untuk menyelesaikan isu-isu yang berkaitan dengan kompetensi DUN untuk menggubal undang-undang Islam serta bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Butiran 1, Senarai II, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Ini juga bagi memastikan tiada pertindihan bidang kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dengan merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung dengan kes Nik Elin Zurina serta panduan kepada kerajaan negeri dalam menentukan hala tuju gubalan atau pindaan undang-undang yang berkaitan dengan sewajarnya, sekiranya perlu.

    Menurut maklumat yang diterima, hasil kajian tersebut hanya akan dikongsikan dengan negeri setelah hasil kajian tersebut diperkenan oleh Majlis Raja-Raja untuk tindakan pindaan atau penggubalan undang-undang yang berkaitan.

Lampiran

Tiada Lampiran.