Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

138) LETUPAN KUARI DAN BATU YANG MENIMPA RUMAH PENDUDUK DI DESA BUKIT INDAH (DBI), SUNGAI BULOH

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Dato' Dr. Halim Bin Tamuri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimana Kerajaan Negeri menguatkuasakan dan memantau peraturan letupan kuari berhampiran DBI?

    Kerajaan Negeri melalui agensi teknikal berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Mineral dan Geosains dan Jabatan Perhutanan sentiasa memantau setiap aktiviti operasi yang dijalankan oleh pelesen kuari. Sebelum pelesen kuari melaksanakan letupan kuari di lapangan, pelesen kuari perlu mengemukakan permohonan peletupan terlebih dahulu kepada Jabatan Mineral dan Geosains sebelum aktiviti letupan dilaksanakan dan pelesen turut perlu mendaftar dan mendapatkan lesen bagi pembedil yang melaksanakan aktiviti letupan. Jabatan Mineral dan Geosains akan merekod dan memantau setiap laporan letupan agar setiap aktiviti yang dilaksanakan mengikut perancangan dan syarat yang telah ditetapkan.

  2. Apakah langkah Kerajaan Negeri dalam mengatasi isu batu yang menimpa rumah penduduk DBI?

    Kerajaan Negeri melalui agensi teknikal berkaitan sentiasa memantau dan melaksanakan semakan terhadap aktiviti kuari bagi setiap pelesen kuari yang beroperasi. Keperluan pematuhan kepada syarat dan garis panduan yang ditetapkan amat penting bagi memastikan setiap aktiviti kuari dilaksanakan dapat mengurangkan kesan terhadap persekitaran.

    Aduan atau isu batu yang menimpa rumah penduduk di Desa Bukit Indah telah disiasat dan mendapati kes tersebut adalah tidak benar. Hasil siasatan mendapati batu yang menimpa rumah di DBI adalah bukan daripada batu letupan di kawasan kuari yang terletak kira-kira 500 meter daripada kawasan perumahan DBI.

  3. Adakah Kerajaan Negeri memantau untuk memastikan perkara ini tidak berulang?

    Kerajaan Negeri melalui agensi teknikal berkaitan sentiasa memantau setiap aktiviti pengoperasian kuari yang dilaksanakan. Ini bagi memastikan keselamatan daripada operasi letupan kuari terjamin dan tidak mengakibatkan kerosakan terhadap rumah penduduk yang terletak berhampiran dengan kawasan kuari.

Lampiran

Tiada Lampiran.