Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

137) PENGGANTIAN PAIP-PAIP LAMA OLEH AIR SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Dato' Seri Mohamed Azmin Bin Ali

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status kerja-kerja penggantian paip-paip usang bagi tahun 2024? Nyatakan jumlah peruntukan dan perincian sumber pembiayaan untuk setiap projek penggantian paip-paip lama di Negeri Selangor dan juga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

    Bagi program penggantian paip usang Air Selangor tahun 2024, Air Selangor telah melantik Jurutera Perunding bagi melaksanakan kerja-kerja reka bentuk pakej-pakej penggantian paip sepanjang 300 km. Permohonan permit korekan telah pun dikemukakan kepada KUSEL pada bulan Mac 2024. Pada masa ini, sebahagian besar maklumat kerja-kerja ukur dan pengesanan utiliti (UDM) yang dibuat oleh pihak KUSEL telah pun diterima dan reka bentuk akhir dijangka akan dapat dimuktamadkan pada bulan November 2024. Kontrak-kontrak pembinaan bagi pakej-pakej sepanjang 300 km dijangka akan dapat dianugerahkan pada Disember 2024. Pelaksanaan kerja tapak akan dimulakan selepas permit pengorekan diperolehi daripada KUSEL.

    Pada masa yang sama, pihak Air Selangor sedang giat menyiapkan baki kerja-kerja penggantian paip dari tahun sebelumnya dan dianggarkan sepanjang 100km paip baharu akan dapat disiapkan pada penghujung tahun 2024.

    Sejak pelaksanaan program penggantian paip pada tahun 2016 sehingga kini, sejumlah RM1,628.35 juta telah diperuntukkan untuk membiayai program penggantian paip usang ini yang terdiri daripada:

    1. Dana Air Selangor
    2. Geran Kerajaan Negeri Selangor berjumlah RM75.6 juta
    3. Pinjaman Kerajaan Negeri Selangor berjumlah RM248.7 juta
    4. Dana Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bagi penggantian paip di kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berjumlah RM60.6 juta

Lampiran

Tiada Lampiran.