Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
135) PRODUK DAN SOLUSI MENYOKONG EKONOMI KITARAN
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Puan Mariam Binti Abdul Rashid
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah mekanisme mampan khusus yang akan diperkenalkan untuk meningkatkan amalan kitar semula di setiap kejiranan?
Kerajaan Negeri sentiasa memandang serius usaha untuk meningkatkan amalan kitar semula di semua peringkat termasuk oleh Jabatan, Agensi dan NGO. Beberapa mekanisme telah diperkenalkan dan usaha ini sedang dijalankan secara berterusan bagi memastikan amalan kitar semula ini lebih mudah untuk dilaksanakan, berkesan, dan melibatkan komuniti/kejiranan. Berikut adalah beberapa mekanisme yang sedang dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri:
- Sistem Pengumpulan Sisa Kitar Semula Berjadual dan Bersasar
Sistem pengumpulan sisa kitar semula secara berjadual ini boleh dimulakan oleh setiap komuniti/jabatan dan dilaksanakan secara berkala agar aktiviti pengumpulan sisa ini dapat direkodkan sekali dalam tempoh sebulan. Ini akan membantu komuniti memastikan bahan kitar semula dibuang dengan cara yang betul dan lestari.
2. Penggunaan Teknologi Aplikasi Mudah Alih
Pembangunan aplikasi mudah alih untuk memudahkan penduduk mengakses maklumat tentang lokasi tong kitar semula, jadual pengumpulan dan jenis bahan yang boleh dikitar semula. Aplikasi ini juga boleh digunakan untuk mengumpul data mengenai jumlah bahan yang dikitar semula di setiap kawasan.
3. Sistem Ganjaran
Beberapa buah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor menyediakan sistem ganjaran seperti kupon bagi menggalakkan penglibatan komuniti dalam program kitar semula.
4. Pendidikan dan Kempen Kesedaran
Program pendidikan secara berterusan perlu diberikan penekanan dengan mengadakan kempen-kempen kesedaran mengenai kepentingan kitar semula di sekolah, pejabat dan rumah. Bengkel atau sesi latihan mengenai tatacara pengasingan bahan kitar semula perlu diutamakan supaya komuniti faham dan boleh melaksanakan aktiviti kitar semula secara berkesan. Secara tidak langsung, ianya boleh membantu meningkatkan budaya kitar semula dalam kalangan komuniti melibatkan semua lapisan masyarakat.
5. Mewujudkan Pusat Kitar Semula (PKS)
Pusat Kitar Semula (PKS) di Negeri Selangor memberikan kemudahan dengan menyediakan kabin kitar semula di beberapa lokasi strategik kepada komuniti selain dijadikan pusat maklumat dan pendidikan mengenai alam sekitar. Selain daripada PKS, Kerajaan Negeri akan memperbanyakkan lagi tong kitar semula di taman permainan, pusat komuniti dan tempat letak kenderaan untuk memudahkan pengumpulan bahan kitar semula.
6. Penglibatan Sektor Swasta dan NGO
Kerajaan Negeri sentiasa menjalinkan kerjasama dengan syarikat kitar semula dan dengan pihak NGO untuk menyediakan lebih banyak program kitar semula seperti bekerjasama dengan Tetra Pak, Nestle dan Dutch Lady.
7. Kompos dan Kitar Semula Bahan Organik Dari Rumah Menggalakkan komuniti untuk mengitar semula bahan organik seperti sisa makanan dengan menyediakan mesin kompos di rumah atau program pengumpulan bahan organik di kejiranan.
-
Bagaimanakah sektor swasta dilibatkan untuk mempertingkatkan usaha R&D dalam menghasilkan produk dan solusi yang menyokong ekonomi kitaran serta mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan sampah?
Sektor swasta memainkan peranan yang sangat penting dalam mempertingkatkan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan produk dan solusi yang menyokong ekonomi kitaran dan mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan sampah. Di antara penglibatan sektor swasta adalah seperti berikut:
- Pembangunan Teknologi Hijau dan Inovasi Produk
Pihak swasta akan mengeluarkan sejumlah kos untuk mencipta teknologi baharu yang menggalakkan penggunaan semula bahan (recycling) seperti membangunkan bahan binaan yang boleh dikitar semula, produk yang menggunakan bahan biodegradable atau teknologi pengurusan sisa yang lebih efisien.
- Kerjasama dengan Institusi Penyelidikan dan Universiti
Institusi penyelidikan, universiti, dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) bekerjasama dengan pihak swasta untuk melaksanakan kajian dan penyelidikan yang menyokong ekonomi kitaran.
- Model Perniagaan Ekonomi Kitaran
Sektor swasta boleh membangunkan model perniagaan yang menyokong kepada ekonomi kitaran, di mana bahan dan produk yang dihasilkan perlu dilihat secara keseluruhan seperti kitaran hayat, termasuk pembaikan, penggunaan semula dan kitar semula.
- Insentif dan Pembiayaan untuk Projek R&D
Kerajaan boleh menyediakan insentif atau pembiayaan bagi syarikat-syarikat yang melaksanakan penyelidikan dalam bidang ekonomi kitaran seperti melaksanakan inisiatif potongan cukai, pemberian geran, atau bantuan kewangan untuk penyelidikan dan pembangunan produk teknologi hijau.
- Membuka Pasaran Untuk Produk Kitar Semula
Sektor swasta boleh membuka pasaran baharu untuk produk yang dihasilkan khas dari bahan kitar semula. Dengan memasarkan produk seperti pakaian dari bahan kitar semula, plastik yang diproses semula atau perabot yang dibina daripada kayu yang diambil semula, pihak syarikat dapat memperkenalkan produk yang lebih mampan dan merangsang permintaan pasaran terhadap barangan kitar semula.