Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
133) PERKEMBANGAN EKONOMI GIG
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah bantuan dan pembangunan infrastruktur yang disediakan untuk pekerja Sektor GIG seperti penghantar makanan?
Sektor GIG di Malaysia adalah satu bidang pekerjaan yang tidak asing lagi dalam menjana dan menggerakkan ekonomi semasa dan pasca Covid-19. Pekerjaan GIG dalam erti kata sebenarnya adalah karyawan bebas atau bekerja tanpa majikan sering mendapat perhatian kebelakangan ini kerana beberapa isu yang melibatkan kebajikan dan undang-undang pekerja GIG terkait Akta Kerja 1955.
Jika disingkap kembali tempoh beberapa tahun ini, Selangor adalah negeri terawal yang melaksanakan bantuan kepada pekerja GIG ini terutama yang terlibat dengan p-hailing. Umum mengetahui, inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) adalah satu inisiatif Kerajaan Negeri bagi menghargai jasa dan penglibatan pekerja p-hailing terutama dalam tempoh PKP yang lalu. Sejumlah RM500 tunai disediakan bagi pemohon yang layak dengan tambahan RM50 bagi caruman KWSP.
Bagi pembangunan infrastruktur, Kerajaan Negeri sedang mengkaji untuk mewujudkan one-stop-centre atau pusat R&R khusus bagi penggiat GIG ekonomi ini. Kajian ini akan mengenal pasti lokasi yang sesuai, kapasiti dan kemudahan yang optimum serta kaedah penyelenggaraan yang terbaik bagi memastikan pembangunan ini dapat dijalankan dengan baik.
-
Bagaimanakah Kerajaan Negeri menyokong perkembangan ekonomi GIG?
Kerajaan Negeri menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh YAB. Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkenaan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi GIG Malaysia (SEGiM). Kerajaan Negeri bersedia menyokong dan menyumbang idea bagi mewujudkan ekosistem GIG ekonomi yang mampan dan boleh dimanfaatkan oleh masyarakat terutama rakyat di Negeri Selangor.
Kerajaan Negeri menerusi PERKESO sentiasa berusaha dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada penggiat GIG ekonomi supaya tidak ketinggalan menerima manfaat yang disediakan oleh pihak kerajaan. Antaranya ialah dengan menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada Orang Bekerja Sendiri termasuk pekerja GIG di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 [Akta 789]. Pencarum di bawah Akta ini adalah layak menerima Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, Faedah Orang Tanggungan, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Pengurusan Mayat, Kemudahan Pemulihan Jasmani / Vokasional dan Faedah Pendidikan.
Selain itu, PERKESO turut melaksanakan beberapa inisiatif lain seperti;
- Menyediakan Program Bina Kerjaya 2.0 di bawah peruntukan Bajet 2024. Program ini merupakan program pembangunan kerjaya yang dikhususkan kepada pekerja sektor tidak formal termasuk pekerja gig yang mempunyai tahap pendidikan Sijil Diploma dan ke bawah bagi meningkatkan potensi serta memperoleh peluang pekerjaan melalui pengajian dan pensijilan micro-credentials atau profesional atau kompetensi. Program yang dijalankan menerusi Bina Kerjaya 2.0 ini juga memberi tanggungan bayaran latihan sehingga maksimum RM4,000 mengikut kategori persijilan dan elaun Latihan kepada peserta berjumlah RM30 sehari untuk tempoh maksima 20 hari. Berdasarkan statistik PERKESO, dari tempoh Januari sehingga 14 Jun 2024, sebanyak 13,803 permohonan telah diterima dan daripada jumlah tersebut sebanyak 5,082 permohonan telah diluluskan.
- Program SPS Padanan Caruman di bawah inisiatif Geran Padanan Caruman di bawah Bajet 2024 yang merupakan insentif bayaran caruman 90 peratus iaitu RM209.50 dibiayai oleh Kerajaan, manakala orang bekerja sendiri (OBS) hanya perlu membayar sebanyak 10 peratus iaitu sebanyak RM23.30 sahaja daripada kadar caruman RM232.80 di bawah Pelan Caruman Kedua. Sehingga 21 Jun 2024 seramai 385,586 OBS telah mencarum menerusi Bajet 2024. Daripada jumlah tersebut, seramai 185,026 OBS mencarum di bawah program SPS Gig 4.0.
- Menjalinkan kerjasama strategik dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) iaitu;
1. Pada 13 Mac 2024, Kementerian Pengangkutan telah memberi tajaan caruman penuh melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kepada individu yang bekerja sendiri sebagai pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah yang melibatkan 35,000 pemandu teksi dan kereta sewa serta 15,000 mereka yang bekerja sendiri sebagai pemandu bas sekolah.
2. Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memandatorikan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 sebagai salah satu syarat memperbaharui lesen vokasional bagi individu tertakluk kepada definisi orang bekerja sendiri di bawah Akta 789.
3. Mengadakan sesi libat urus berterusan bersama Kementerian/ Jabatan/ Agensi/ Badan Bukan Kerajaan/ Kerajaan Negeri/ Penyedia Platform seperti yang berkaitan seperti GRAB, Lalamove, Lazada, Pejabat Penerangan Negeri, Jabatan Pembangunan Wanita dan Sahabat-Sahabat Amanah Ikhtiar. Pada 4 Jun 2024, Grab Malaysia telah menaja caruman di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kepada lebih 180,000 rakan pemandu (e-hailing) dan penghantar (p-hailing).