Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
110) PEMBANGUNAN TEKNOLOGI HIJAU
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah inisiatif teknologi hijau yang telah dan sedang dijalankan oleh Selangor?
Kerajaan Negeri Selangor menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) kini sedang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengaplikasikan elemen teknologi hijau dalam aktiviti operasi dan pembangunan di samping meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat ke arah amalan hijau. Bagi mencapai sasaran negeri sifar karbon seawal tahun 2050, inisiatif/program yang dilaksanakan adalah seperti berikut:
- Pemasangan panel solar dibumbung bangunan dan premis Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Projek ini telah dimulakan dengan pemasangan panel solar di 10 bangunan Kerajaan Negeri meliputi Bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan bangunan Pejabat Daerah dan Tanah;
- Pelaksanaan program pengurusan tenaga, pemakaian MS1525:2019 dan Bangunan Lestari untuk memastikan bangunan Kerajaan Negeri, PBT dan bangunan di sekitar bandar di Negeri Selangor cekap tenaga;
- Pemasangan lampu solar di premis Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan Agensi seperti dewan, stadium, gerai, masjid, rumah ibadat, sekolah, kawasan taman awam dan kawasan parkir;
- Galakan pemasangan Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) oleh Jabatan/Agensi Negeri Selangor serta komuniti tempatan menerusi pemberian Geran Kecil Alam Sekitar (GKAS);
- Projek pemasangan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di seluruh Negeri Selangor dengan kerjasama Menteri Besar Incorporated (Pemerbadanan), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan syarikat penyedia fasiliti EV, Gentari;
- Galakan penggunaan dan peralihan kepada kenderaan elektrik/hybrid oleh Jabatan/Agensi Negeri Selangor dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT);
- Meneroka industri solar melalui projek-projek pembangunan Large Scale Solar (LSS) di permukaan air (terapung) atau permukaan tanah dengan sokongan daripada tawaran insentif Kerajaan Persekutuan.
-
Berapakah jumlah projek teknologi hijau yang telah dilaksanakan dan apakah sektor-sektor yang terlibat?
Bagi tahun 2024, jumlah pelaksanaan projek teknologi hijau yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dan PBT adalah sebanyak 278 dan sektor-sektor yang terlibat merangkumi sektor bangunan, infrastruktur seperti Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH), program dan kempen kesedaran.
-
Adakah Kerajaan Negeri mempunyai pelan jangka panjang untuk mempromosikan dan melaksanakan teknologi hijau di Selangor?
Susulan daripada pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Fasa 1 pada 27 Julai 2023, Kerajaan Negeri Selangor sedang meneliti untuk meneroka peluang dan ruang yang ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi pembangunan projek-projek tenaga yang boleh diperbaharui. Bagi memastikan inisiatif ini dapat direalisasikan, Kerajaan Negeri akan menetapkan strategi untuk dilaksanakan seperti berikut:
- menetapkan sasaran dan pelan hala tuju pengurangan pelepasan GHG melalui penyediaan roadmap ekonomi tenaga hijau dan sistem pemantauan GHG bagi meningkatkan ekonomi negeri dan kesejahteraan hidup masyarakat;
- menambah baik dan membangunkan dasar serta mekanisme kawal selia yang akan memudahcara penyertaan sektor swasta dalam memacu peralihan tenaga, termasuk mempermudahkan proses kemasukan teknologi atau inovasi tenaga yang baharu untuk melahirkan modal insan yang berinovatif;
- membangunkan kerangka dasar ekonomi hijau dan tenaga boleh diperbaharui yang menggabungkan pelbagai strategi dan inisiatif yang boleh membantu meningkatkan hasil ekonomi Negeri Selangor, membuka peluang pekerjaan bagi menaiktaraf kehidupan rakyat serta memelihara alam sekitar;
- meneroka industri solar sebagai alternatif sumber tenaga baharu dengan sokongan oleh pelbagai program dan tawaran insentif yang menarik bagi menggalakkan penjimatan tenaga; dan
- menggalakkan pelaburan hijau yang lebih besar, termasuk perancangan jangka panjang dalam sektor teknologi hijau yang berpotensi tinggi bagi membuka peluang pekerjaan yang berkemahiran dan bernilai tinggi.