Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

101) ISU GISB

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan tindakan kerajaan terhadap isu GISB.

    JAIS

    Kerajaan Negeri telah menubuhkan pasukan khas bagi meneliti program pemulihan khusus untuk kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal GISBH pada 8 Oktober 2024. Pasukan ini dipengerusikan bersama oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Industri Halal, Pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi, Industri Digital dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor. Pasukan ini turut disertai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor (JKMS), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Yayasan MBI, Yayasan Selgate, Persatuan Taska Negeri Selangor (PTNS) serta beberapa agensi swasta dan badan bukan kerajaan.

    Dalam masa yang sama Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS terlebih telah melaksanakan tangkapan kepada ahli GISBH bermula pada 22 September 2024 sehingga 1 November 2024. Seramai 149 orang ahli GISBH telah ditangkap, disiasat dan dibebaskan dengan jaminan. Siasatan dilaksanakan adalah merujuk kepada Seksyen 12 (c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 atas kesalahan melanggar Fatwa berkenaan Al-Arqam dan Syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn. Bhd. (SRC) yang telah diwartakan pada tahun 1993, 1994 dan 2006 yang menyatakan bahwa Al-Arqam dan SRC ini adalah menyeleweng daripada akidah Islam yang sebenar. Pada 16 Oktober 2024, Jabatan Mufti Negeri Selangor telah mewartakan fatwa berkaitan fahaman, ajaran, pegangan atau amalan GISBH dan rangkaiannya. Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS juga telah menemubual seramai 438 kanak-kanak (mangsa) GISBH iaitu seramai 266 orang di negeri Selangor, 155 orang di Pulau Pinang, 14 orang di Johor dan 3 orang di Negeri Sembilan yang berumur antara 12 dan 17 tahun untuk mendapatkan gambaran dan keadaan mereka sepanjang berada di bawah kumpulan GISBH bagi membantu beberapa kaitan dan kesahihan fakta terhadap individu yang akan didakwa.

  2. Adakah GISB masih dibenarkan berniaga di kawasan Bandar Country Homes?

    JAIS

    Kebenaran menjalankan perniagaan adalah bergantung kepada syarat-syarat perlesenan yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan dalam apa jua bentuk perniagaan atau premis-premis perniagaan atau jenis lesen perniagaan.

    Sehubungan dengan itu, kebenaran berniaga di kawasan Bandar Country Homes adalah tertakluk kepada kebenaran daripada Majlis Perbandaran Selayang. Walau bagaimanapun, JAIS mencadangkan supaya JAIS dirujuk untuk ulasan bagi sebarang aktiviti perniagaan di Bandar Country Homes berikutan Fatwa Fahaman, Ajaran, Pegangan Atau Amalan Global Ikhwan Services And Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) Dan Rangkaiannya di bawah perkara 2 (b) (i) (ii) (iii) berhubung aspek syariat.

    Turut perlu diingat fatwa juga menetapkan bahawa mana-mana individu atau mana-mana pihak adalah dilarang dan diharamkan untuk menganjur, menyokong, mengadakan atau membantu menjayakan apa apa perayaan, sambutan keraian, majlis atau aktiviti yang boleh dikaitkan dengan fahaman, ajaran, pegangan atau amalan ini atau apa-apa fahaman, ajaran, pegangan atau amalan yang mempunyai persamaan dengannya melalui pertubuhan, persatuan, syarikat, rumah amal, pusat jagaan atau badan lain.

    MPS

    Untuk makluman Yang Berhormat, berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) Ke 27/2024, sebanyak 24 akaun lesen perniagaan telah dibatalkan bagi aktiviti yang melibatkan GIBS di Bandar Country Homes.

    Untuk makluman Yang Berhormat juga, Majlis Perbandaran Selayang telah mengambil tindakan penutupan ke atas premis-premis GIBS di Bandar Country Homes pada 21 September 2024 semasa Operasi Bersepadu (Ops Global) bersama PDRM.

    Pemantauan di lokasi telah dibuat dari masa ke semasa dan mendapati premis-premis GISB tidak lagi beroperasi.

  3. Nyatakan tindakan pemulihan terhadap ahli GISB.

    JAIS

    Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersama JAKIM dan JAIS telah bertindak untuk memulihkan ahli-ahli GISBH dengan menyediakan dan menyelaras pembinaan modul dan melaksanakan program pemulihan terhadap mangsa. MAIS juga menyediakan pusat-pusat perlindungan untuk melaksanakan program pemulihan terhadap ahli GISBH yang sukarela untuk akidahnya dipulihkan.

    Tindakan pemulihan terhadap ahli GISBH melibatkan dua kaedah iaitu secara sukarela dan perintah mahkamah. Bagi tindakan pemulihan terhadap ahli GISBH secara sukarela secara serah diri atau walk in atau melalui program rehabilitiasi Majlis Keselamatan Negara (MKN), MAIS telah bekerjasama dengan MKN dalam Program Rehabilitasi selama 90 hari secara sukarela kepada ahli GISBH bermula 14 Oktober 2024 hingga 14 November 2024. Program Rehab tersebut bertujuan memberi peluang kepada ahli GISBH untuk bertaubat secara sukarela dan disantuni sebagai mangsa dan bukan sebagai pesalah. Peserta akan ditempatkan di rumah pemulihan MAIS yang terpilih. Setakat 7 November 2024, 11 orang peserta telah ditempatkan di rumah pemulihan MAIS dan melalui program pemulihan yang berpandukan Modul Istitabah MAIS. Selain itu, peserta akan diberi latihan kemahiran bersesuaian.

    Modul Istitabah yang digunakan merangkumi empat bahagian iaitu: saringan, rawatan kerohanian, pemulihan dan pengukuhan serta sokongan yang menitikberatkan berkaitan akidah, fardhu ain dan pembentukan sahsiah. Sesi pendidikan formal dari KPM dan JAIS juga dilaksanakan terhadap  kanak-kanak yang berada di tempat selamat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

    Bagi ahli GISBH yang dijatuhkan hukuman untuk menjalani pemulihan mengikut tempoh yang ditetapkan oleh Mahkamah di rumah pemulihan dan perlindungan MAIS yang telah diwartakan.

Lampiran

Tiada Lampiran.