Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
96) PORTFOLIO PEMBANGUNAN USAHAWAN
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri memperkenalkan kursus untuk usahawan kecil? Mohon senaraikan nama kursus dan bilangan penyertaan.
Untuk Makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Keusahawanan dan agensi-agensi yang terlibat menyediakan pelbagai kursus/latihan keusahawanan bagi usahawan di Negeri Selangor pada tahun ini. Antara latihan yang disediakan adalah seperti berikut:
- Klinik Usahawan Selangor
Penubuhan Klinik Usahawan Selangor yang diselia oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) adalah bertujuan untuk memberi khidmat nasihat perniagaan dan bimbingan secara menyeluruh dan “one to one” kepada usahawan oleh barisan pakar yang dilantik dari aspek urus tadbir, pemasaran, pengurusan kewangan dan peluang pembiayaan.
Bilangan usahawan yang telah mendapatkan bimbingan Klinik Usahawan Selangor bagi tahun 2024 adalah seramai 1000 orang. Selain itu, PKNS juga menyediakan program latihan pembangunan usahawan iaitu Program Bina Bangun Usahawan (BIZUP) dan Program Usahawan Siswazah (GROW).
2. Program U-PLATS
Program Pembangunan Usahawan PLATS (U-PLATS) merupakan program latihan yang ditawarkan di setiap kawasan mengikut Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mempersiapkan peniaga ke arah digitalisasi. Program U-PLATS menawarkan beberapa fasa dan modul khas dalam membantu melahirkan usahawan yang berdaya saing.
3. Program Selangor 1000 Digital
Penganjuran program ini dengan kerjasama SIDEC adalah untuk mendigitalisasikan 1000 usahawan di Negeri Selangor. Sehingga kini, sebanyak lima (5) daerah telah terlibat iaitu Petaling, Sabak Bernam, Sepang, Hulu Langat dan Gombak dengan penyertaan 1,620 orang dari seluruh negeri Selangor.
Melalui kempen ini, usahawan mendapat manfaat melalui penggunaan teknologi dan penyelesaian digital bagi meningkatkan potensi dan pendapatan usahawan melalui platform digital. Usahawan juga boleh dilatih untuk menjadi hos penstriman langsung (live seller) yang boleh menjana pendapatan melalui platform digital.
4. Program Liga Usahawan Selangor
Program yang dijalankan dengan kerjasama Selangor Youth Community (SAY) ini dilaksanakan merangkumi proses latihan dan penilaian. Liga Usahawan Selangor merangkumi dua (2) kategori yang memberi fokus kepada usahawan di Negeri Selangor yang mempunyai potensi untuk dikembangkan ke pasaran rantaian dan pasaran eksport (SAY ASPIRE) dan usahawan kelainan upaya (SAY LEAD). Bagi tahun 2024, jumlah peserta adalah seramai 40 orang.
5. Program Selangor Export Day
Program ini dijalankan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk memberi pendedahan kepada usahawan Selangor dalam usaha untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat pasaraya besar tempatan dan antarabangsa
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri dalam memberikan ruang dan peluang kepada usahawan kecil bagi membawa produk mereka ke peringkat yang lebih tinggi?
Untuk Makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui agensi-agensi yang terlibat menyediakan pelbagai inisiatif dan insentif kepada usahawan kecil bagi membawa produk mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Antara yang ditawarkan adalah seperti berikut:
- Geran Dana Usahawan Madani Selangor (DUMS)
Bantuan ini diberikan kepada usahawan melalui sembilan (9) daerah di Negeri Selangor. Dana ini merupakan program khas dalam bentuk mesin atau peralatan untuk membantu usahawan di Negeri Selangor bagi meningkatkan hasil pengeluaran produk dan jualan.
Sebanyak RM2.4 juta telah diperuntukkan untuk program DUMS pada tahun 2024. Setiap pemohon yang menepati syarat dan kelayakan yang ditetapkan berpeluang untuk dipertimbangkan untuk menerima bantuan sehingga RM30,000.00.
- Program Pinjaman Mikrokredit Hijrah Selangor
Yayasan Hijrah Selangor (YHS) telah menyediakan pembiayaan mikro kredit sejak tahun 2015. Program ini bertujuan untuk membantu Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS) yang menghadapi masalah kekurangan modal dan memerlukan peluang untuk mendapatkan dana tambahan. Pembiayaan mikro kredit ini terdiri daripada Skim iBisnes dan Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI), dengan kelulusan maksimum sehingga RM50,000.00, mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.
- Ekspo/ Pameran Keusahawanan
Salah satu inisiatif bagi mengembangkan lagi pasaran produk para usahawan di Negeri Selangor adalah melalui penyertaan dalam ekspo dan pameran di dalam dan luar negeri. Usahawan yang berkelayakan akan ditawarkan untuk menyertai ekspo/ pameran ini bagi mewakili delegasi Negeri Selangor di ekspo/ pameran tempatan seperti ekspo MIHAS di MITEC Kuala Lumpur atau ekspo antarabangsa seperti China-Asean Expo (CAEXPO) di Nanning China dalam memasarkan produk dan meningkatkan pendapatan.