Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

87) PEMBANGUNAN RUMAH

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Puan Pang Sock Tao

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status pembinaan 245 unit rumah PPR bagi pekerja ladang di lima estet di Bestari Jaya (Ladang Minyak, Ladang Sungai Tinggi, Ladang Mary, Ladang Nigel Garder dan Ladang Bukit Tagar)?

    Seperti mana Yang Berhormat sedia maklum, Program Perumahan Rakyat (PPR) atau kini dikenali sebagai Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni Madani, Bestari Jaya bagi penempatan kepada bekas pekerja ladang melibatkan lima (5) ladang iaitu Ladang Minyak, Ladang Sungai Tinggi, Ladang Mary, Ladang Nigel Garder dan Ladang Bukit Tagar yang terletak di Bestari Jaya, Kuala Selangor.

    Keputusan bagi penyelesaian kepada bekas pekerja ladang di Bestari Jaya telah dipersetujui bersama oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan kos keseluruhan pembangunan sebanyak RM75 juta. Ini selaras dengan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 13/2024 bertarikh 10 Mei 2024 telah bersetuju secara dasarnya dengan cadangan penyelesaian Rumah Kediaman Bekas Pekerja Ladang Berjaya City dengan peruntukan tersebut sejumlah RM75 juta melalui peruntukan KPKT sejumlah RM40 juta dan Kerajaan Negeri Selangor sejumlah RM35 juta.

    Buat masa ini, status pembinaan 245 unit rumah PRR Harmoni Madani telah pun mendapat kelulusan Kebenaran Merancang daripada Majlis Perbandaran Kuala Selangor pada 28 Oktober 2024 dengan tertakluk kepada syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh pihak PRIMA selaku agensi pelaksana. Seterusnya, proses kelulusan Pelan Bangunan akan dikemukakan permohonan oleh pihak PRIMA kelak.

    Berdasarkan perancangan pembangunan ini, kerja-kerja memulakan pembinaan dijangkakan akan dilaksanakan pada awal tahun 2025 dengan tempoh siap selama 2 tahun pembinaan.

  2. Apakah jenis reka bentuk dan harga PPR tersebut?

    Cadangan pembangunan PRR Harmoni Madani ini melibatkan pembangunan 245 unit komponen rumah teres 1 tingkat yang mempunyai 3 bilik tidur dan 2 bilik air dengan cadangan keluasan lot iaitu 20 kaki X 60 kaki. Walaubagaimanapun, cadangan reka bentuk kediaman tersebut akan dimuktamadkan setelah mendapat kelulusan Pelan Bangunan daripada Majlis Perbandaran Kuala Selangor. Manakala harga jualan seunit PRR yang ditetapkan adalah RM45,000.00 seunit kepada bekas pekerja ladang yang telah diperakukan.

Lampiran

Tiada Lampiran.