Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

73) PENYELENGGARAAN JALAN

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Nushi Bin Mahfodz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah untuk mengatasi kerosakan jalan yang kerap berlaku terutama jalan yang melibatkan pembinaan perumahan?

    Antara langkah-langkah yang diambil oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengatasi kerosakan jalan yang kerap berlaku terutama jalan yang melibatkan kawasan pembinaan perumahan adalah seperti berikut:-

    1. Melaksanakan pemantauan, penilaian kerosakan dan pemeriksaan jalan secara berkala untuk menilai tahap kerosakan bagi menentukan keadah pembaikan yang bersesuaian;
    2. Mengumpul data untuk direkodkan dengan tepat menggunakan sistem Global Positioning System (GPS) bagi mengenalpasti lokasi jalan dan menganalisa punca kerosakan;
    3. Melaksanakan pembaikan yang bersesuaian berdasarkan kepada jenis kerosakan jalan seperti berikut:-
    • Untuk kerosakan kecil seperti lubang atau rekahan, kaedah seperti pemadatan semula, pembaikan menggunakan campuran aspal atau konkrit boleh dilakukan.
    • Bagi kerosakan lebih serius yang memerlukan kerja penggalian dan membina semula bahagian jalan yang terjejas, proses kerja penggantian lapisan asas jalan atau pembaikan saliran boleh dilaksanakan.
    • Penggunakan teknologi canggih seperti penampalan dengan bahan komposit atau peralatan pemampat juga boleh dilaksanakan untuk memastikan kerja dilakukan dengan lebih cepat dan efektif.
    • Kolaborasi di antara Pihak Berkuasa Tempatan, kontraktor pembaikan jalan dan badan pengawasan diperlukan untuk memastikan kerosakan jalan dibaiki dalam masa yang singkat dan dengan cara yang efektif.
  2. Apakah perancangan jangkamasa panjang untuk atasi masalah ini?

    Antara perancangan jangka masa panjang Kerjaan Negeri bagi mengatasi masalah ini adalah seperi berikut:

    1. Membuat penyenggaraan jalan secara berkala;
    2. Membuat kerja tampalan pothole dalam masa yang telah ditetapkan;
    3. Penggunaan aplikasi aduan atas talian seperti Selangor Geospatial Management System (SRAMS) dapat membantu PBT dalam mengenalpasti kerosakan jalan bagi tujuan pembaikan segera;
    4. Melaksanakan rondaan audit melibatkan pihak JKR Daerah mahupun pihak konsesi yang dilantik;
    5. Mengemaskini SOP pembaikan jalan;
    6. Melaksanakan projek-projek menaiktaraf jalan raya, pembinaan jambatan dan jejantas; dan
    7. Menggalakkan penggunaan bahan binaan baru serta teknologi terkini.
  3. Adakah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mempunyai garis panduan yang telah disyaratkan kepada pemaju bagi mengurangkan kerosakan jalanraya?

    PBT sentiasa mengingatkan setiap pemaju supaya menurap semula jalan-jalan yang rosak di kawasan perumahan seperti yang telah ditetapkan dalam syarat-syarat pembangunan. Antara syarat-syarat yang ditetapkan adalah seperti berikut:

    1. Pihak pemaju perlu menurap semula jalan sedia ada sepanjang sempadan projek berkaitan sebelum mendapatkan sokongan CCC projek perumahan dari PBT/ JKR Daerah;
    2. Sekiranya pihak pemaju didapati tidak menjalankan kerja penyelenggaraan dengan baik terhadap jalan awam dan perabot-perabot jalan sedia ada, pihak PBT/ JKR Daerah akan melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan/ pembaikan dan bayaran kos kerja akan diambil dari wang cagaran yang telah dijelaskan; dan
    3. Pihak pemaju tertakluk di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) di baca bersama Undang-Undang Kecil (Mengkompaun Kesalahan-kesalahan) Jalan, Parit dan Bangunan 2005 dan hendaklah mematuhi arahan PBT dari semasa ke semasa.

Lampiran

Tiada Lampiran.