Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

59) PEMBANGUNAN KELUARGA

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Danial Al-rashid Bin Haron Aminar Rashid

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha Kerajaan Negeri dalam memperkukuhkan institusi keluarga di Selangor, terutamanya melalui program sokongan keibubapaan dan pembangunan kanak-kanak?

    Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan program sokongan keibubapaan dan pembangunan kanak-kanak seperti berikut:

    1. Program KASIH Keibubapaan Digital telah dilaksanakan dengan kerjasama LPPKN Selangor bagi mendedahkan ibu bapa dengan pengetahuan dan kemahiran dalam mendidik anak-anak tentang kaedah penggunaan teknologi digital yang selamat. Terdapat sepuluh (10) siri dilaksanakan di seluruh Selangor dan seramai 300 orang peserta daripada kalangan ibu bapa telah mendapat manfaat daripada program ini.
    2. Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak telah dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengetahuan kepada kanak-kanak dalam aspek keselamatan serta perlindungan kanak-kanak. Program ini telah dilaksanakan di 11 buah sekolah di semua Daerah di negeri Selangor dan satu di Pusat Aktiviti Kanak-kanak PPR HICOM.
  2. Bagaimanakah Kerajaan Negeri membantu keluarga B40 dalam menangani isu seperti tekanan ekonomi, kos pendidikan dan akses kepada perkhidmatan kesihatan?

    Melalui pendekatan kitaran kehidupan (life cycle approach), Kerajaan Negeri Selangor telah merangka dan melaksanakan sebanyak 46 inisiatif di bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP) bagi memastikan kesejahteraan rakyat. Khusus bagi membantu keluarga yang kurang berkemampuan menghadapi tekanan ekonomi, kos pendidikan dan akses kepada perkhidmatan kesihatan, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah Iltizam Selangor Penyayang. Bantuan berbentuk kewangan dan manfaat diberikan melalui program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), Iltizam Selangor Sihat (ISS), Bantuan Sihat Selangor (BSS), Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS), Iltizam Anak Selangor, Bayaran Yuran Asas Universiti, Iltizam Mahasiswa Selangor dan sebagainya.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.