Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

52) WANITA BERDAYA SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perkembangan terkini agensi Wanita Berdaya Selangor dan pelan rancangan?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Wanita Berdaya Selangor telah melancarkan Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024–2026 pada Mei 2024 yang lalu. Usaha ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus memberdaya wanita di Selangor.

    Selaras dengan dasar tersebut, tiga teras strategik telah ditetapkan sebagai dasar pengoperasian WBS seperti berikut:

    Pembangunan Dasar dan Polisi

    1. WBS merupakan agensi pelaksana utama dalam pembangunan Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor dan Pelan Tindakan 2024-2030 yang akan memandu inisiatif dan program bagi mencapai visi Selangor sebagai hab ekonomi penjagaan.
    2. Selain itu, WBS dengan kerjasama Lembaga Perumahan Negeri Selangor (LPHS) sedang menjalankan Kajian Pemberdayaan Wanita Ke Arah Matlamat Pembangunan Lestari Melalui Pemilikan Rumah Wanita di Negeri Selangor. Kajian bertujuan untuk mengetahui tahap akses, peluang dan pemberdayaan wanita bagi pemilikan rumah.

    Pemberdayaan Wanita

    1. WBS melalui Pusat Wanita Berdaya (PWB) di seluruh 56 DUN di telah melaksanakan pelbagai progam pembangunan kapasiti dan kemahiran bagi meningkatkan sosio-ekonomi wanita. Setakat ini, seramai 35,746 orang wanita telah menerima manfaat daripada program yang telah dianjurkan.
    2. Pada tahun 2024, WBS telah memberikan Geran Bantuan Rumah Perlindungan kepada enam (6) Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Negeri Selangor. Geran bertujuan untuk membantu menambah baik rumah perlindungan dari segi fasilliti, pemandiri dan perkhidmatan latihan.
    3. WBS juga akan melaksanakan Kempen 16 Hari Aktivisme Melawan Keganasan Berasaskan Gender bermula 25 November sehingga 10 Disember 2024 yang dijalankan setiap tahun.

    Pembinaan Kepimpinan

    1. WBS meneruskan program Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) yang bermatlamat untuk melahirkan lebih ramai pemimpin wanita di lapangan politik dan kerja sosial. Program AKW bagi Kohort 4 sedang berlangsung dengan penyertaan seramai 112 orang peserta yang terdiri daripada mereka yang terlibat secara aktif bersama dengan Badan Bukan Kerajaan atau NGO.
    2. WBS sedang melaksanakan Sidang Wanita Selangor (SIWANIS) dengan kerjasama Pejabat Speaker Dewan Negeri. SIWANIS merupakan simulasi Sidang Dewan Negeri yang bertujuan untuk membentuk pemimpin wanita yang lebih berkualiti. Seramai 56 perwakilan wanita sedang melalui latihan pembangunan kapasiti dan sesi mentoring bersama tenaga pengajar dan mentor yang berpengalaman
    3. Program Insentif Digital Media Usahanita Muda 2024 telah dilaksanakan melibatkan lebih daripada 237 orang peserta. Program ini bertujuan untuk memupuk kesedaran wanita muda tentang penggunaan teknologi digital bagi menjalankan dan mengembangkan perniagaan.
    4. Biasiswa Wanita Berdaya Selangor (WBS) pula menawarkan sokongan kewangan dengan memberi tajaan pengajian dipelbagai peringkat seperti Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah. Sehingga kini, seramai 24 orang telah menerima Biasiswa WBS dan melanjutkan pengajian di Open Universiti Malaysia (OUM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

    Sebagai langkah proaktif untuk memastikan WBS terus mengorak langkah kehadapan, WBS telah menubuhkan Jabatan Pembangunan Kolaborasi dan Strategik dan Unit Alumni dan Bakat. Tujuannya ialah untuk memastikan WBS mampu menarik peluang pelaburan bagi program dan inisiatif yang dijalankan di samping turut memberi manfaat yang berpanjangan kepada para alumni.

Lampiran

Tiada Lampiran.