Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
44) KEBAJIKAN IBU-IBU TUNGGAL DAN BAPA-BAPA TUNGGAL
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Muhaimin Harith Bin Abdullah Sani
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah inisiatif Kerajaan Negeri dalam membantu dan menjaga kepentingan serta kebajikan Ibu-Ibu Tunggal dan Bapa-Bapa Tunggal di Selangor?
Kerajaan Negeri menyediakan Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) yang terbuka kepada semua golongan yang berkelayakan termasuk ibu-ibu dan bapa-bapa tunggal. Bantuan ini bertujuan bagi meringankan beban kos sara hidup terutama mereka yang berpendapatan rendah bagi menampung keperluan kehidupan asas yang semakin mencabar pada masa kini.
Bantuan Am Negeri turut disediakan dengan tiga kadar iaitu RM250, RM300 atau RM350 sebulan. Bantuan ini dipertimbangkan kepada keluarga miskin dan kumpulan sasar lain yang memerlukan termasuk ibu dan bapa tunggal yang menjaga anak-anak mereka. Selain itu, bagi menyokong keluarga kurang berkemampuan, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat menyediakan Bantuan Kanak-kanak dengan kadar RM150 hingga maksimum RM1,000 sebulan. RM200 seorang bagi anak yang berumur 6 tahun dan ke bawah dan RM150 seorang bagi anak yang berumur 7 hingga 18 tahun.
-
Apakah skim-skim Kerajaan Negeri yang boleh membantu menaik taraf pendapatan dan kehidupan ibu dan bapa tunggal di Selangor?
Secara umumnya, penyertaan bagi bantuan dan skim perniagaan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri menerusi Iltizam Selangor Penyayang adalah inklusif dan terbuka kepada semua golongan termasuk ibu tunggal dan bapa tunggal. Antaranya ialah Program Bantuan ‘BluePrint’ Pembasmian Kemiskinan, Geran Dana Usahawan Madani Selangor (DUMS) serta Skim Hijrah Mikro Kredit.
Di bawah Wanita Berdaya Selangor, antara usaha untuk membantu golongan ibu tunggal adalah melalui Program Pemberian Geran Ibu Tunggal sebanyak RM5,000 secara one off kepada persatuan ibu tunggal berdaftar di negeri Selangor. Pemberian geran ini bertujuan untuk menyuntik dana kepada persatuan agar mereka dapat bergiat lebih aktif ke arah memperkasa golongan ibu tunggal serta ibu tinggal di Selangor termasuk dalam aspek kebajikan.
Selain itu, bagi membantu rakyat termasuk ibu dan bapa tunggal memajukan diri dan menaikkan taraf kehidupan, Kerajaan Negeri juga menyediakan pelbagai kursus atau latihan bagi meningkatkan kemahiran sedia ada (upskilling) atau mempelajari kemahiran baharu (reskilling). Pelbagai program latihan atau kursus disediakan oleh Institut Pendidikan di bawah Kerajaan Negeri seperti Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) (dahulu dikenali sebagai INPENS International College) dan Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC).
Beberapa siri kursus atau latihan pembangunan kerjaya turut diadakan di bawah Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia melalui Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) bagi memacu pertumbuhan ekonomi rakyat. Program yang menyediakan latihan kemahiran jangka pendek ini boleh dimanfaatkan oleh golongan B40 dan fakir miskin termasuk ibu dan bapa tunggal untuk mendapatkan peluang pekerjaan atau memulakan perniagaan selepas tamat kursus.