Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
14) I-SEED DAN BLUEPRINT
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Leong Tuck Chee
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan prestasi dan kejayaan dalam Program Blueprint dan I-Seed.
Untuk makluman Yang Berhormat Pandamaran sehingga kini Program Bantuan Peralatan Blueprint Pembasmian Kemiskinan ini telah memberi manfaat kepada 5,645 penerima yang terdiri dari peniaga kecil-kecilan yang berpendapatan rendah. Sepanjang 16 tahun program ini dijalankan sebanyak RM21,168,963.10 telah dibelanjakan dan peruntukan ini digunakan untuk menyediakan peralatan bantuan yang diperlukan oleh penerima bagi membantu meningkatkan taraf hidup mereka. Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (I-SEED), telah memberi manfaat kepada 410 penerima dengan jumlah peruntukan yang dibelanjakan sejumlah RM2,311,080.00 semenjak dimulakan pada tahun 2021.
Dengan bantuan peralatan Blueprint dan I-Seed ini, ramai penerima manfaat telah mampu meningkatkan pendapatan mereka melalui aktiviti ekonomi seperti pertanian, perniagaan kecil, dan penternakan. Program ini juga telah menyumbang kepada pembangunan sosial dengan mengurangkan jurang kemiskinan dan meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan. Secara tidak langsung program Blueprint dan I-Seed ini telah menggalakkan keterlibatan komuniti dalam proses pembasmian kemiskinan serta membina jaringan sokongan di kalangan penerima manfaat. Selain bantuan peralatan, program ini juga memberikan pendidikan dan latihan kepada penerima manfaat tentang cara menggunakan peralatan dengan berkesan, serta pengurusan kewangan dan perniagaan yang baik. Secara keseluruhan, program ini telah memberi impak positif dalam usaha membasmi kemiskinan di Selangor dan membangun masyarakat yang lebih mampan di negeri Selangor.
-
Berapakah penerima masih menjalankan perniagaan selepas menerima bantuan?
Kerajaan Negeri Selangor melalui Penghulu Mukim dan Pejabat Daerah dan Tanah telah membuat pemantauan terhadap penerima bantuan Blueprint dan I-Seed ini secara langsung atau tidak langsung. Pemantauan ini juga bertujuan untuk mendapatkan maklumat penerima bantuan yang tidak lagi menjalankan perniagaan dan barang bantuan yang perlu diserahkan semula kepada kerajaan negeri. Melalui maklumat yang dikumpul kebanyakan penerima bantuan masih berniaga dan menjana pendapatan dari peralatan bantuan yang diterima. Namun begitu, terdapat juga segelintir penerima bantuan yang tidak lagi menjalankan perniagaan kerana telah meninggal dunia, peralatan telah rosak dan tidak dapat dibaiki dan penerima telah berpindah kerana pulang ke kampung dan sebagainya.
-
Bagaimanakah kerajaan dapat memastikan penerima dapat meneruskan perniagaan selepas mendapat bantuan Blueprint atau I-Seed?
Antara usaha Kerajaan Negeri untuk memastikan penerima dapat meneruskan perniagaan selepas mendapat bantuan adalah dengan memberi peluang perniagaan kepada mereka dalam program-progam Kerajaan Negeri di peringkat daerah. Penerima juga digalakkan untuk menyertai komuniti perniagaan tempatan untuk jaringan sokongan yang dapat membantu menyediakan platform untuk berkongsi pengalaman, mendapatkan nasihat, dan membina kerjasama.
Selain dari itu, melalui Jawatankuasa Tetap Pembasmian Kemiskinan telah mengadakan Karnival Blueprint dan I-Seed pada tahun 2019 yang bertujuan untuk memberikan platform kepada penerima bantuan untuk mempamerkan dan menjual produk atau perkhidmatan mereka kepada masyarakat umum, membantu mereka mendapatkan lebih banyak pelanggan. Menawarkan sesi latihan dan bengkel yang berkaitan dengan pengurusan perniagaan, pemasaran, dan kemahiran teknikal bagi meningkatkan pengetahuan dan kecekapan peserta. Mewujudkan peluang untuk peserta berinteraksi dan membina jaringan dengan usahawan lain, pembekal, dan pelanggan, yang boleh membawa kepada kerjasama dan peluang perniagaan baru. Memberikan maklumat mengenai sumber dan sokongan yang tersedia untuk usahawan, termasuk akses kepada pembiayaan, bimbingan, dan bantuan teknikal. Menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan dengan membantu usahawan kecil dan sederhana mengembangkan perniagaan mereka, yang seterusnya dapat mencipta peluang pekerjaan. Karnival Blueprint dan I-Seed ini dicadangkan untuk diadakan pada tahun 2025 nanti bagi terus membantu semua penerima bantuan Blueprint dan I-Seed negeri Selangor.