Lawatan Pemimpin Parlimen Persekutuan dan Negeri Nepal ke Dewan Negeri Selangor

Shah Alam, 4 Disember: Dewan Negeri Selangor telah menerima delegasi dari Parlimen Nepal sempena Lawatan Kerja Pemimpin Parlimen Persekutuan dan Negeri Nepal ke Parlimen Malaysia pada 2 Disember 2024 hingga 6 Disember 2024 (Nepalese Federal And Provincial Parliamentary Leadership Visit). Lawatan tersebut disertai Ahli Parlimen Nepal (Federal Parliament) dan juga tujuh (7) Speaker / Timbalan Speaker dari tujuh Badan Perundangan Negeri (Provincial Assemblies) Nepal.

Ketibaan rombongan pada jam 9:30 pagi di hadapan bangunan Wisma Dewan Negeri Selangor telah disambut mesra oleh YB Speaker Dewan Negeri Selangor sebelum mereka dibawa ke Bilik Mesyuarat MTES untuk sesi perkongsian bersama YB Tuan Speaker, YB Tuan Lau Weng San. Sesi tersebut turut disertai oleh YB Timbalan Speaker, YB Tuan Mohd Kamri Bin Kamaruddin dan YB Kawasan Sentosa, Y.B. Tuan Dr Gunarajah A/L R George.

Lawatan tersebut dimulai dengan ucapan aluan serta penerangan mengenai Dewan Negeri Selangor oleh YB Tuan Speaker, diikuti dengan ucapan ketua delegasi, Speaker Bagmati Provincial Assembly, YB Bhuban Kumar Pathak dan beliau telah menyatakan penghargaan kepada Dewan Negeri Selangor atas kesudian menerima kunjungan kerja beliau dan barisan speaker daripada tujuh Provincial Assemblies Nepal.

Antara perkara yang dibincangkan adalah hubungan di antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang diamalkan di Malaysia serta hubungan diantara Dewan-dewan Negeri dan Parlimen di Malaysia. Dewan Negeri Selangor turut mempelajari beberapa perkara menarik yang diamalkan di Nepal berkaitan pembahagian kuasa antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri (Provincial Assemblies) dan berkenaan pelantikan Speaker/Timbalan Speaker yang wajib dalam kalangan wakil rakyat yang dipilih dan pelantikan Speaker/Timbalan Speaker tersebut mestilah memenuhi syarat-syarat iaitu dilantik dari ahli parti yang berlainan dan salah satu mestilah dilantik dalam kalangan wanita.

Kemudian, delegasi telah dibawa melawat ke Chamber Persidangan Dewan Negeri Selangor oleh YB Speaker sebelum jamuan makan tengahari di Ruang Makan Wisma Dewan Negeri Selangor.