Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
395) USAHAWAN BELIA
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Usahawan
Adun: Y.B. Tuan Wan Dzahanurin Bin Ahmad
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam membantu pembangunan usahawan tempatan dan usahawan belia? Sila senaraikan agensi-agensi tersebut dan peranan mereka.
Untuk makluman Yang Berhormat, Jawatankuasa Tetap Keusahawanan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan negeri terlibat dalam membantu pembangunan usahawan tempatan dan usahawan belia seperti berikut:
- Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
Setiap PBT melaksanakan pelbagai program keusahawanan dengan memberi penekanan kepada kursus asas perniagaan dan kewangan bersama penjaja yang terpilih di kawasan PBT masing-masing.
- Pejabat Daerah/Tanah (PDT)
Permohonan bagi Dana Usahawan Madani Selangor (DUMS) diselaraskan oleh setiap PDT di daerah masing-masing. Geran berbentuk pemberian peralatan/mesin ini diberikan kepada usahawan melalui sembilan (9) daerah di Negeri Selangor untuk membantu dalam meningkatkan hasil jualan dan sekaligus melahirkan usahawan-usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju.
- Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU), PKNS
Penubuhan Klinik Usahawan Selangor yang dilaksanakan dengan kerjasama BPU PKNS sebagai agensi pelaksana adalah bertujuan untuk memberi bantuan dan khidmat nasihat perniagaan dari aspek tadbir urus, pemasaran, pengurusan kewangan dan peluang pembiayaan kepada usahawan Negeri Selangor termasuk usahawan belia. Ia juga bertujuan untuk memberi bimbingan dalam perniagaan secara “one to one” dan menyeluruh bagi menyelesaikan masalah, ketidakupayaan dan kekangan yang membantutkan pengembangan perniagaan.
- Menteri Besar Incorporated (MBI)
Program Pembangunan Usahawan PLATS (U-PLATS) dengan kerjasama MBI merupakan program latihan yang ditawarkan di setiap kawasan mengikut Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mempersiapkan peniaga ke arah digitalisasi. Program U-PLATS menawarkan beberapa fasa dan modul khas seperti berikut :
- Fasa 1 memfokuskan kepada adaptasi digitalisasi dan penjanaan gandaan pendapatan. Di dalam fasa 1 juga, usahawan dididik untuk memastikan kewujudan perniagaan di dalam platform digital dan pembinaan kandungan kreatif seperti di tiktok untuk mengiklankan perniagaan mereka.
- Fasa 2 pula memfokuskan kepada perkemasan perniagaan sehingga mendapat pensijilan halal.
- Fasa 3 memfokuskan kepada “expand dan export” untuk memastikan kelangsungan perniagaan dan membuka peluang pekerjaan.
- Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (SIDEC)
Penganjuran Program Selangor 1000 Digital dengan kerjasama SIDEC adalah bertujuan untuk mendigitalisasikan usahawan di Selangor secara tuntas melalui satu kempen utama bermula bulan Mei 2024 – September 2024 di lima (5) daerah iaitu di Shah Alam, Sabak Bernam, Kota Warisan, Bandar Baru Bangi dan Taman Melawati. Kempen utama ini memfokuskan kepada dua elemen utama digitalisasi iaitu:
- Memperkasakan 500 usahawan e-dagang dengan teknologi dan penyelesaian digital yang membuka potensi tumbesaran usahawan.
- Melahirkan 500 hos penstriman langsung (live seller) yang boleh menjana pendapatan melalui platform digital.
Selain itu, SIDEC turut menjalankan program pemecut Selangor Accelerator Programme, pendidikan, bengkel, dan kursus latihan untuk membantu meningkatkan kemahiran dan pengetahuan profesional dalam industri kreatif digital.
- Yayasan Hijrah Selangor
Kerajaan Negeri melalui Yayasan Hijrah Selangor menawarkan Pinjaman Mikrokredit Hijrah Selangor yang menyediakan pinjaman kewangan secara berperingkat. Ia merupakan satu sistem pembiayaan modal yang mudah, cepat dan tidak membebankan kepada penjaja dan peniaga kecil yang menghadapi masalah kekurangan modal, dan peluang mendapatkan modal tambahan. Pinjaman berperingkat ini dikategorikan mengikut skim 1 – 4 dan jumlah kelulusan diberikan sehingga RM50,000.00 mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. Selain itu terdapat beberapa program lain di bawah agensi ini seperti berikut:
- NADI (Skim Niaga Darul Ehsan)
Bantuan ini berbentuk pinjaman modal dari RM1,000.00 – RM50,000.00 khusus untuk wanita yang ingin memulakan perniagaan. Pembiayaan ditawarkan dalam tempoh enam (6) bulan sehingga tiga (3) tahun.
- Skim i-Bisnes
Menawarkan modal tambahan berbentuk kewangan sehingga RM50,000.00 kepada individu yang sudah menjalankan aktiviti perniagaan bagi mengembangkan lagi perniagaan yang sudah diusahakan. Pembiayaan ditawarkan dalam tempoh sehingga lima (5) tahun.
-
Apakah terdapat program khusus dalam membantu usahawan India? Sila nyatakan nama agensi dan bentuk bantuan yang ditawarkan.
Untuk makluman Yang Berhormat, program khusus dalam membantu usahawan India adalah Program di bawah Jawatankuasa Tetap Pembasmian Kemiskinan iaitu Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (i-SEED), yang merupakan program pemberian berbentuk mesin dan peralatan bernilai sehingga RM10,000.00 kepada peniaga kecil berbangsa India di kalangan golongan individu dan seisi rumah yang berpendapatan di bawah RM3,000.00.