Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

366) ISU KEMISKINAN

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Muhaimin Harith Bin Abdullah Sani

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah senarai data terperinci jumlah golongan B40, golongan asnaf dan di Daerah Hulu Selangor mengikut kaum dan Kawasan perumahan pada tahun 2022, 2023 dan 2024?

    Untuk makluman Yang Berhormat Batang Kali, berdasarkan kepada Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah 2022, had pendapatan bagi kumpulan Terendah 40 peratus (B40) di negeri Selangor adalah RM8,389 yang merangkumi 710.1 ribu isi rumah. Had pendapatan kumpulan Pertengahan 40 peratus (M40) pula adalah di antara RM8,390 hingga RM15,729 melibatkan 709.8 ribu isi rumah. Sementara itu, had pendapatan kumpulan Tertinggi 20 peratus (T20) adalah RM15,730 dan ke atas yang melibatkan sebanyak 354.9 ribu isi rumah.

    Bagi daerah Hulu Selangor, peratusan isi rumah kumpulan B40 mewakili 4.8 peratus daripada 710.1 ribu isi rumah B40 di negeri Selangor berbanding daerah pentadbiran yang lain. Peratusan isi rumah kumpulan M40 pula adalah 3.0 peratus daripada 709.8 ribu isi rumah M40 di negeri Selangor. Daripada 354.9 ribu isi rumah T20 di negeri Selangor, peratusan isi rumah kumpulan T20 bagi daerah ini adalah 1.6 peratus.

    Untuk makluman, di Malaysia kaedah pengukuran kemiskinan mutlak adalah dengan menggunakan pendekatan Kos Keperluan Asas yang menetapkan satu paras keperluan minimum yang dikenali sebagai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK). Konsep kemiskinan yang digunakan adalah mengambil kira PGK makanan dan PGK bukan makanan bagi setiap isi rumah. Sesebuah isi rumah dianggap miskin jika pendapatan mereka kurang daripada nilai PGK yang diperlukan.

    Pada tahun 2022, nilai purata PGK di negeri Selangor adalah RM2,830 sebulan dengan purata saiz isi rumah seramai 3.8 orang. Insiden kemiskinan mutlak negeri Selangor adalah 1.5 peratus manakala insiden kemiskinan mutlak bagi daerah Hulu Selangor adalah 1.7 peratus.

    Perincian peratusan isi rumah mengikut kumpulan isi rumah B40, M40 dan T20 (BMT) dan insiden kemiskinan mutlak mengikut daerah pentadbiran di Selangor bagi tahun 2022 adalah seperti di Jadual 1.

    Jadual 1: Peratusan isi rumah mengikut kumpulan isi rumah dan insiden kemiskinan mutlak mengikut daerah pentadbiran, Selangor, 2022

    Daerah Pentadbiran Kumpulan isi rumah* Insiden kemiskinan mutlak
    Tertinggi 20% Pertengahan 40% Terendah 40%
    Selangor
    Bil. isi rumah (‘000)
    354.9
    709.8

    710.1
    1.5
    Jumlah 100.0 100.0 100.0  
    Gombak 15.4 10.9 11.5 2.4
    Klang 9.7 12.7 19.0 2.2
    Kuala Langat 3.5 5.7 4.4 0.3
    Kuala Selangor 2.5 3.0 5.5 2.8
    Petaling 38.1 28.9 35.0 1.6
    Sabak Bernam 0.5 0.8 2.9 5.3
    Sepang 7.0 8.3 2.3 0.0
    Hulu Langat 21.7 26.7 14.6 0.5
    Hulu Selangor 1.6 3.0 4.8 1.7

     

     

    Manakala jumlah asnaf fakir dan miskin di bawah seliaan Lembaga Zakat Selangor bagi tahun 2022 sehingga tahun 2024 bagi Daerah Hulu Selangor adalah seperti jadual di bawah:

    TAHUN JUMLAH (KELUARGA)
    2022 5,207
    2023 5,600
    2024 5,825

     

    Pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Lembaga Zakat Selangor (MAIS) bagi membantu golongan asnaf terutamanya fakir dan miskin dalam mengurangkan bebanan kos sara hidup. Antaranya melalui:

    • Skim Bantuan Asasi iaitu bantuan bagi menyokong keperluan asaf golongan asnaf. Sebagai contoh bantuan kewangan dan makanan bulanan serta bantuan sewa rumah.
    • Skim Bantuan Utama iaitu bantuan tahunan yang diberikan kepada keluarga asnaf berdaftar dengan LZS seperti berikut:
      1. Bantuan Ramadan & Hari Raya – Bantuan yang disalurkan sebagai persediaan menyambut perayaan.
      2. Bantuan Keperluan Pendidikan Sekolah – Bantuan yang disediakan bagi menampung keperluan sekolah anak-anak asnaf.
    • Skim Bantuan Sokongan iaitu bantuan-bantuan lain yang diberikan bagi membantu asnaf dari segi pembangunan ekonomi, pendidikan dan pembangunan insan.
  2. Apakah inisiatif yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk membantu golongan asnaf dan golongan B40 dalam mengurangkan bebanan kos sara hidup?

    Kerajaan Negeri sentiasa peka dalam membantu golongan asnaf dan B40 di negeri ini dalam mengurangkan bebanan yang disebabkan oleh peningkatan kos sara hidup. Sehubungan dengan itu, Program Iltizam Selangor Penyayang (ISP) merupakan satu inisiatif berterusan yang menjadi strategi jangka masa panjang Kerajaan Negeri Selangor dalam membantu golongan asnaf dan B40 dalam menangani bebanan yang disebabkan oleh peningkatan kos sara hidup. Program-program ISP yang dibentuk untuk memberdayakan rakyat disamping mengupaya dan meningkatkan social safety net seperti yang digariskan di dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

     

    ISP terdiri daripada empat puluh enam (46) program dan dirangkumkan di dalam enam (6) kategori dan antara-antara program yang boleh disasarkan atau yang boleh dipohon oleh golongan asnaf dan B40 di Daerah Hulu Selangor adalah Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan, Program Jom Shopping Perayaan, Skim Air Darul Ehsan, Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin, Bas Smart Selangor dan Program Jualan Ehsan Rakyat (JER) yang diadakan secara berkala mengikut DUN.

     

    Program-program ISP ini diyakini dapat mencapai motif utama untuk membantu mengurangkan kesan terhadap kenaikan kos sara hidup dan juga dapat membantu menghasilkan komposisi ekonomi yang seimbang dalam pekerjaan, kebajikan, kesihatan dan perniagaan secara menyeluruh sekaligus dapat membantu golongan asnaf dan B40 dalam menangani isu kenaikan kos sara hidup samada di bandar atau luar bandar. Namun begitu program-program yang dilaksanakan ini tidak mampu menangani masalah kenaikan kos sara hidup secara total, namun secara tidak langsung ianya dilihat berupaya membantu meringankan beban rakyat Daerah Hulu Selangor khasnya dan rakyat Negeri Selangor amnya dalam menjalani kehidupan seharian disamping dapat membantu meningkatkan pendapatan seisi keluarga.

Lampiran

Tiada Lampiran.