Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
286) PERTANIAN MODEN
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Tuan Sallehen Bin Mukhyi
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan akan membina empangan bagi membekal air bersih dan berkualiti khusus bagi tujuan penanaman padi? Bilakah projek ini akan dapat dimulakan?
Untuk makluman, pembinaan empangan di IADABLS adalah tidak sesuai kerana berada di lokasi tanah rendah. Fungsi empangan ialah menjadi struktur menahan dan menakung air yang sesuai dibina di kawasan tanah tinggi.
Walau bagaimanapun, Kerajaan ada melaksanakan kajian pada tahun 2018 bagi mengatasi masalah kekurangan sumber air di IADABLS. Antara penyelesaian jangka panjang yang telah disyorkan ialah membina kolam takungan di rizab Hutan Tanjong Karang yang mempunyai saiz dan kapasiti yang lebih besar berbanding kolam takungan sediada di Sg Haji Dorani. Namun disebabkan kos pembinaan yang sangat tinggi kerajaan terpaksa mengutamakan projek-projek lain terlebih dahulu yg berskala kecil tetapi berimpak besar seperti menaiktaraf regulator dan sistem palong.
-
Bilakah kerajaan alan membekal jentera mesin tuai padi yang lebih baik dari yang digunakan sekarang ini?
Kerajaan akan membekal jentera mesin tuai padi yang lebih baik dari yang diguna sekarang ini bermula tahun ini. Mini Jentuai ini mempunyai kelebihan dari segi jenis aliran paksi (axial sistem baru) mempunyai peleraian berkembaran, pengasingan lebih baik dan mampu mengawal kadar kehilangan lepas tuai serendah 2.4%. Penggunaan mekanisasi seperti Mini Jentuai amat digalakkan untuk mengurangkan kehilangan lepas tuai dan memelihara struktur ‘hardpan’ tanah daripada rosak (jerlus). Justeru itu, peruntukan untuk perolehan Mini Jentuai secara berfasa akan dilaksanakan supaya kadar kehilangan hasil semasa penuaian dapat dikurangkan.
Kesinambungan daripada cadangan penyelesaian jangka pendek tersebut, pemerkasaan PMP di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan juga boleh diwujudkan. Selain itu, sebagai galakan kepada pengusaha tempatan juga perlu diberi perhatian melalui Program Matching Grant dengan harapan agar pemilikan dan kesedaran kepentingan penggunaan mini jentuai ini di kalangan pesawah semakin tinggi.