Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

278) LEMBAGA PELAWAT HOSPITAL DAN PANEL PENASIHAT KLINIK KESIHATAN DI SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Tuan Sallehen Bin Mukhyi

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila beri senarai penuh semua wakil dan anggota dalam Lembaga Pelawat Hospital dan Penasihat Klinik Kesihatan Kerajaan dalam Selangor.

    Sehingga Mei 2024, terdapat 808 ahli Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) yang telah dilantik di 75 buah klinik kesihatan di sembilan (9) buah daerah seluruh negeri Selangor. Manakala, jumlah ahli Panel Penasihat di Hospital Negeri Selangor yang telah dilantik adalah seramai 252 orang. Sebagai rujukan, bersama-sama ini dilampirkan senarai ahli-ahli tersebut.

  2. Apakah mekanisma khusus yang digunakan untuk menilai fungsi dan keberkesanan setiap Ahli Lembaga ini?

    Selaras dengan perkembangan semasa, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia telah meminda dan memperkemas beberapa perkara berkaitan tadbir urus Lembaga Pelawat Hospital bagi memastikan institusi tersebut terus kekal relevan. Selaras dengan Surat Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia Bilangan 3 Tahun 2023 – Garis Panduan Pelantikan Dan Peranan Ahli Lembaga Pelawat Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia, penambahbaikan ini meliputi aspek prosedur dan syarat pelantikan serta penjelasan berhubung peranan Lembaga Pelawat Hospital agar peranan dimainkan lebih cekap dan berkesan.

    Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) memainkan peranan sebagai penghubung antara hospital dengan komuniti. ALPH memainkan peranan perhubungan awam yang positif dengan memberi penerangan yang jelas kepada orang awam mengenai kemudahan-kemudahan dan perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan oleh pihak Hospital serta masalah-masalah yang dihadapi oleh pihak Hospital dalam memberi perkhidmatan kepada orang ramai. Peranan Lembaga Pelawat Hospital adalah seperti berikut:

    1. Penghubung antara hospital dengan komuniti;
    2. Mengadakan lawatan ke hospital;
    3. Menyumbang perkhidmatan kebajikan kepada pesakit dan hospital; dan
    4. Melibatkan diri dalam aktiviti hospital

    Bagi menilai keberkesanan setiap Ahli Lembaga Pelawat ini, Mesyuarat Lembaga Pelawat Hospital perlu diadakan sekurang-kurangnya tiga (3) kali setahun namun tidak melebihi enam (6) kali setahun. Pelaporan mesyuarat hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Hospital dan Pengarah JKN bagi tujuan tindakan susulan dan rekod. Lawatan hendaklah dilaksanakan sekurang-kurangnya dua (2) kali setahun, namun sekiranya terdapat keperluan untuk melaksanakan lawatan melebihi bilangan yang ditetapkan, lawatan boleh diadakan setelah mendapat persetujuan Pengarah Hospital. Laporan lawatan hendaklah disediakan dalam masa dua (2) minggu selepas lawatan dilaksanakan dan dibincangkan di dalam Mesyuarat Lembaga Pelawat Hospital.

Lampiran

Tiada Lampiran.