Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
264) SUKAN BOLA SEPAK
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Generasi Muda & Sukan
Adun: Y.B. Tuan Noor Najhan Bin Mohamad Salleh
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah perancangan kerajaan di dalam meningkatkan kualiti dan kemajuan bola sepak di Negeri Selangor?
Kerajaan Negeri sangat mengambil berat dalam program pembangunan sukan terutamanya berkaitan sukan bolasepak. Kerajaan Negeri Selangor melalui Majlis Sukan Negeri Selangor dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Selangor akan memastikan kualiti dan kemajuan bolasepak di negeri Selangor sentiasa berjalan sepanjang masa. Pihak Persatuan telah mewujudkan beberapa inisiatif dalam mempertingkatkan lagi mutu dan kualiti pembangunan bolasepak di Negeri Selangor antaranya :-
i.Program penganjuran liga Bola Sepak Belia dan Junior:
Setiap tahun FAS telah berjaya menjalankan liga negeri bagi kategori lelaki dengan menjalankan Liga FAS yang memiliki 5 divisyen, 96 pasukan, hampir 500 perlawanan serta 3,550 peserta. Liga ini memastikan bakat muda wajib di daftarkan di setiap pasukan supaya pendedahan dapat diberikan kepada pemain-pemain ini. Antara liga yang dijalankan oleh Persatuan Bolasepak Selangor ialah :-
- Liga Belia FAS – Pada setiap September, FAS akan menganjurkan Liga Belia yang mengumpulkan pemain-pemain yang berumur 18 tahun dan ke bawah yang terbaik di negeri Selangor untuk bersaingan di dalam liga yang kompetitif.
- Liga Junior FAS – Ianya melibatkan pemain dari 5 kategori; bawah 8 tahun, bawah 10 tahun, bawah 12 tahun, bawah 14 tahun dan bawah 16 tahun. Jumlah penyertaan adalah lebih dari 160 pasukan dari seluruh negeri Selangor serta lebih 4,800 peserta yang terlibat. Liga Junior FAS mempunyai format yang amat kompetitif di mana pemain-pemain ini bersaingan di dalam tempoh 4 bulan dan ianya merupakan liga sangat kompetitif.
ii. Penekanan untuk mempertingkatkan kualiti tadbir urus persatuan serta memperkasakan aspek Pendidikan
- FAS memastikan kualiti tadbir urus sentiasa dikemas kini dan dipertingkatkan bagi mencapai kualiti tadbir urus yang baik serta mengikut peredaran masa.
- Di samping itu, FAS bersama-sama dengan Kerajaan Negeri Selangor serta Jabatan Pendidkan Negeri Selangor telah bekerjasama untuk memastikan akses kepada ilmu kejurulatihan lebih mudah dengan harga yang berpatutan.
- Selain itu, FAS telah menubuhkan FAS Innovation Hub di mana program ini memberi penekanan untuk membantu sesiapa yang berminat untuk melibatkan diri di dalam arena bola sepak sebagai pegawai atau pentadbir boleh belajar dan menimba pengalaman dari program ini.
- Program FAS international pula berbentuk biasiswa dan sokongan untuk menghantar pemain menimba ilmu dan pengalaman di peringkat antarabangsa.
iii. Penekanan pada aspek komersil bagi memastikan kelestarian industri:
- FAS telah memberi penekanan pada aspek media dan brand development bagi menarik minat lebih banyak penaja dari kalangan syarikat korporat. Antara usaha-usaha ini adalah platform media sosial yang lebih aktif dengan pelbagai promosi yang dijalankan serta penganjuran kejohanan berprestij seperti Liga Juara-Juara Selangor, Liga Super Wanita dan Liga Junior FAS di mana program- prorgam berprestij ini mempunyai kunjungan penonton yang tinggi dan liputan media yang meluas.
- Selain itu, FAS telah mewujudkan FAS broadcasting network di mana FAS kini berupaya menyiarkan semua perlawanan secara langsung inhouse. Ini memudahkan penyokong untuk menonton perlawanan-perlawanan di peringkat komuniti dari mana-mana sahaja melalui telefon bimbit.
- Program FAS Rebuild merupakan satu inisiatif baru di mana FAS bekerjasama rapat dengan Kerajaan negeri serta PeBT bagi menaik taraf fasiliti sedia ada menjadi fasiliti bertaraf tinggi untuk kegunaan rakyat. Antara projek utama di bawah Program FAS Rebuild adalah menaik taraf Hotel dan Pusat Sukan Kompleks 3K, Subang Jaya.
iv. Program pembangunan bola sepak wanita dan kanak-kanak perempuan:
- FAS dengan sokongan pihak MBI dan PKNS telah menubuhkan Liga Super Wanita. Selangor merupakan negeri yang pertama mewujudkan Liga Wanita yang kompetitif dengan durasi liga yang Panjang. Liga ini telah menerima sebanyak 14 pasukan dari seluruh negara.
- FAS turut mengembangkan kejohanan dengan mewujudkan Piala FA Wanita, piala konfederasi dan Liga FAS bawau 15 tahun
-
Apakah ada perancangan untuk mewujudkan padang bola sepak di kampung-kampung? Kongsikan perancangan tersebut.
Kerajaan Negeri sentiasa peka dan prihatian terhadap keperluan serta kehendak masyarakat sama ada yang tinggal di bandar mahupun di kampung. Kerajaan Negeri juga sedia maklum bahawa sukan bolasepak antara sukan pilihan bagi penduduk kampung untuk melakukan aktiviti riadah mereka pada waktu lapang. Selain itu, sukan bolasepak sering menjadi sukan pilihan bagi acara sukan tahunan di kampung-kampung sebagai medium untuk mengeratkan silaturrahim antara masyarakat.
Justeru itu, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha murni ini dengan membantu membaikpulih serta menaiktaraf padang bolasepak melalui program infrastruktur sukan yang telah mula dijalankan pada tahun 2021 bagi memastikan padang bolasepak di kampung-kampung dalam keadaan yang baik. Melalui program tersebut Kerajaan Negeri telah membaikpulih dua (2) buah padang bolasepak iaitu padang bolasepak di Kampung Paya Jaras dan padang awam di Batu 14, Hulu Langat. Manakala sebuah padang bolasepak di kampung Sungai Terap telah dibina pada tahun 2022. Buat masa ini, Kerajaan Negeri lebih memberi tumpuan untuk menaiktaraf dan membaikpulih padang bolasepak yang sedia ada sahaja.