Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

258) KILANG HARAM

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Noor Najhan Bin Mohamad Salleh

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sejauh manakah Kerajaan Negeri mampu memantau dan menyekat dengan tegas agar tiada kilang haram yang baru di bina khususnya di DUN Sementa?

    Pihak Majlis telah membuat program Kilang Tanpa Kebenaran dan merujuk keputusan MMKN Negeri Selangor 3/2023 melalui surat Bil.(5) IPK.Sel. SPBT700-1/8/13 Jld 8 bertarikh 24 Februari 2023, MMKN bersetuju dengan perkara-perkara berikut :

     

    • Mengekalkan syarat teknikal minima bagi tanah-tanah yang telah diluluskan tukar syarat nyata tanah serta lesen sementara dilanjutkan bagi tanah-tanah yang telah diluluskan permohonan tukar syarat nyata tanah dan telah mengemukakan permohonan. Pemakaian dan pengekalan tersebut hanya kepada kilang-kilang yang telah tersenarai dalam inventori sahaja. Perkara ini adalah selaras dengan Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Penyelesaian KTK Bilangan 2/2022 pada 23 September 2022;

     

    • Bagi Tujuan urusan berkaitan tanah, Permit Khas Sementara boleh diberikan oleh Pejabat Daerah /Tanah (PDT) untuk tempoh tiga (3) tahun bagi tujuan berpindah ke atas kilang-kilang yang telah disenaraikan dalam inventori yang berada di Luar Zon (dengan lima (5) kali ganda penalti) dan boleh dipertimbangkan dengan syarat:

     

    • Perlu mendapatkan ulasan awal oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan kelulusan Bomba;

     

    • Tidak perlu Kelulusan Kebenaran Merancang dan digantikan dengan Permit Bangunan Sementara’ dan

     

    • Sekiranya terdapat aduan berhubung kilang tersebut dan memberi masalah kepada kawasan setempat dan pencemaran, sebarang pemberian kelulusan secara sementara hendaklah dibatalkan dan diteruskan dengan tindakan penguatkuasaan.

     

    • Bagi KTK di dalam Zon diberikan syarat teknikal minima serta lesen industri dikekalkan tiga (3) kali ganda dengan syarat tanah selesai tukar syarat. Jika tiada permohonan, PDT diminta mengambil tindakan penguatkuasaaan (Notis 7A). Kaedah memproses dan penyediaan permit khas oleh Pentadbir Tanah dilaksanakan menerusi pemakaian Pekeliling PTGS Bilangan 2/2007.

     

    • Pemantauan dan tindakan penguatkuasaan secara berterusan. Bancian semula ke atas semua kawasan di MBDK sedang dibuat dan kawasan Sementa telah selesai dibanci. Bancian ini bagi memudahkan data KTK diperolehi dan dipantau.
  2. Apakah terdapat pembinaan yang baru tahun 2023 - terkini dan apakah tindakan yang telah diambil?

    Hasil semakan Majlis mendapati terdapat 6 kilang baru di kawasan Sementa dan tindakan penguatkuasaan telah dijalankan dengan mengeluarkan Notis Peringatan untuk memberhentikan aktiviti dan operasi serta memulihkan tanah kepada keadaan asal sebagai makluman kepada pemilik tanah/pengusaha berkenaan kesalahan yang telah dilakukan melanggar Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976 (Akta 172).

     

    Sekiranya pihak pemilik tanah/pengusaha gagal untuk mematuhi notis peringatan untuk memberhentikan aktiviti dan operasi serta memulihkan tanah kepada keadaan asal bagi pemajuan yang sedang dijalankan tanpa Kebenaran Merancang, pihak Majlis akan meneruskan tindakan dengan mengeluarkan Notis Kaedah (notis kesalahan dibawah Akta 172) mengikut kesalahan yang dilakukan. Sekiranya pemilik tanah/pengusaha masih gagal untuk mematuhi notis kaedah tersebut pihak Majlis akan membuat pendakwaan ke atas kesalahan yang dijalankan.

     

    Kesemua tindakan penguatkuasaan yang dijalankan adalah secara bersepadu dengan Pejabat Tanah Daerah, Air Selangor, TNB, Jabatan Dalaman MBDK dan lain-lain Jabatan yang berkaitan merujuk kepada Akta Kerajaan Tempatan (AKTA171), Akta Jalan Parit dan Bangunan (AKTA 133) dan Undang-undang kecil Majlis.

Lampiran

Tiada Lampiran.