Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
214) FAHAMAN LIBERALISME & PLURALISME
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Hal Ehwal Islam
Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Zamri Bin Mohd Zainuldin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Setelah pencabaran fatwa liberalisme & pluralisme agama menang di peringkat mahkamah tinggi & rayuan, apakah tindakan Kerajaan Negeri bagi menyekat fahaman & ajaran ini daripada tular dalam masyarakat di Negeri Selangor?
Bagi menyekat fahaman dan ajaran liberalisme serta pluralisme, Kerajaan Negeri melalui JAIS sentiasa berusaha melaksanakan program-program penjelasan dan pemahaman akidah Islam di di seluruh Negeri Selangor untuk mengukuhkan akidah dalam diri setiap orang Islam di semua peringkat umur. Program pemahaman dan penjelasan akidah ini dilaksanakan dalam bentuk seminar, forum dan ceramah di lokasi yang dihadiri oleh masyarakat dan juga sebahagiannya boleh ditonton secara langsung di media sosial. Usaha ini merupakan salah satu cara menyekat fahaman liberalisme dan pluralisme berkembang dalam masyarakat.
Selain itu, JAIS juga berusaha mendidik orang Islam agar tidak menerima fahaman liberalisme dan pluralisme melalui pendidikan dengan menyediakan kurikulum pengukuhan akidah di dalam silibus pembelajaran di sekolah-sekolah rendah dan menengah di bawah seliaan JAIS. Di samping itu pengajian akidah juga turut di ajar oleh guru-guru takmir di masjid dan surau di seluruh Negeri Selangor yang mana kelas ini boleh dihadiri dan disertai oleh orang Islam.
JAIS juga memberi penjelasan dan pemahaman kepada orang Islam mengenai fatwa pengharaman liberalisme dan pluralisme melalui poster infografik dan videografik yang disebarkan di internet terutamanya di media sosial.
JAIS turut menyediakan teks-teks khutbah Jumaat yang bertajuk Bahaya Pemikiran Islam Liberal, Fahaman Liberal Perosak Akidah, Liberal Perosak Islam, LGBT Tabiat Songsang dan Menangani LGBT.
JAIS juga menghasilkan penulisan mengenai liberalisme dan pluralisme melalui artikel, jurnal, pamplet dan buku. Ia disebarkan secara percuma kepada masyarakat dan sebahagiannya boleh dimuat turun daripada laman web JAIS.
JAIS juga berusaha mengekang pemikiran liberalism dan pluralism dalam kalangan orang Islam melalui kawalan tauliah ceramah.