Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

211) STATUS TERKINI NAIKTARAF SISTEM PENGAIRAN SAWAH DI SAWAH SEMPADAN

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Zamri Bin Mohd Zainuldin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Naik taraf sistem pengairan sawah dengan bajet 12.9 juta baru melibatkan 2 daripada 12 di sawah sempadan kerana isu birokrasi pengambilan tanah. Apakah status terkini mengenai isu yang penting ini dan apakah langkah-langkah yang telah diambil berkenaan 10 sawah sempadan yang lain?

    Bahagian Pengairan dan Saliran Pertanian (BPSP), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam perancangan untuk menaiktaraf keseluruhan palong di skim pengairan IADA Barat Laut Selangor (IADABLS) yang telah dimulakan di Pengairan Sawah Sempadan Tanjung Karang berkeluasan 2,500 hektar dan melibatkan 1,058 orang petani. Skim Pengairan IADABLS mempunyai 12 Tali Air Sawah Sempadan (TASS) dan untuk makluman, TASS 1 sehingga TASS 6 telah dinaiktaraf pada tahun 2006.

     

    Fasa seterusnya, luas kawasan yang terlibat dengan projek naiktaraf tali air palong ini adalah seluas 931 hektar dengan panjang keseluruhan 31.81 km bermula TASS 7, TASS 8, TASS 9, TASS 10, TASS11 dan TASS 12 yang melibatkan 456 orang petani dengan kos keseluruhan berjumlah RM12.9 Juta.

     

    Walau bagaimanapun, status semasa pembinaan baharu struktur palong di TASS 11 dan TASS12 sepanjang 11.50 km akan dilaksanakan dahulu berdasarkan peruntukan yang telah diberikan.

Lampiran

Tiada Lampiran.