Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

156) PENYELENGGARAAN PARIT

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Puan Mariam Binti Abdul Rashid

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah SOP penyelenggaraan parit oleh JPS?

    Untuk makluman Yang Berhormat, SOP penyelenggaraan parit oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor adalah dengan melaksanakan kerja pembersihan menggunakan jentera sebanyak dua (2) kali setahun.

  2. Bagaimanakah sistem pemantauan agensi seperti PBT, JKR, JPS ke atas kerja-kerja yang dilaksanakan oleh kontraktor di kawasan Meru?

    Kaedah pemantauan yang dilaksanakan oleh JPS Negeri Selangor adalah pegawai kawasan akan membuat lawatan bersama kontraktor sebelum, semasa dan selepas kerja dilaksanakan di tapak. Pihak kontraktor juga perlu menyediakan laporan bergambar sebagai dokumen sokongan bagi setiap bayaran yang dituntut. Laporan bergambar kerja siap yang lengkap sahaja yang akan disyorkan untuk pembayaran.

     

    JKR – Jalan Negeri

    JKR Selangor melalui Peruntukkan MARRIS telah menyediakan Kontrak Khas (Pelantikan Konsesi) bagi penyelenggaraan jalan di bawah Kontrak Jangka Panjang Penyelenggaraan Jalan-Jalan Negeri Di Negeri Selangor. Kontrak ini melibatkan penyelenggaraan jalan raya negeri yang berada di dalam bandar mahupun di luar bandar. Secara umumnya, penyelenggaraan Kontrak Jangka Panjang ini melibatkan beberapa kerja rutin yang perlu dilaksanakan ke atas jalan yang berkaitan termasukkan penampalan kerja-kerja penyenggaraan longkang, Ini adalah bertujuan untuk memastikan longkang-longkang di jalan negeri di Negeri Selangor sentiasa berada dalam keadaan baik.

    Rondaan audit sentiasa dilakukan oleh JKR Daerah dan JKR Selangor bagi memantau keadaan semasa longkang dan kerja-kerja yang dilaksanakan. Kegagalan pihak konsesi melaksanakan kerja pembaikan di tapak mengikut sepsifikasi kontrak akan menyebabkan pihak konsesi boleh dikenakan tindakan NCR dan pemotongan ke atas tuntutan bayaran bulanan bagi kerja penyenggaraan longkang sebagai penalti.

     

    JKR – Jalan Persekutuan

    Pihak Kementerian Kerja Raya telah melantik konsesi Roadcare yang bertanggungjawab menyenggara jalan persekutuan. Skop penyenggaraan longkang terbuka di bawah konsesi adalah 4 kali kekerapan setahun bagi laluan protokol manakala 3 kali kekerapan setahun bagi laluan utama.

    Pihak JKR sentiasa memantau pelaksanaan kerja yang dilaksanakan oleh pihak konsesi melalui audit rutin dan pemantauan oleh JKR Daerah. Kegagalan pihak konsesi melaksanakan kerja pembaikan di tapak mengikut spesifikasi kontrak akan menyebabkan pihak konsesi boleh dikenakan tindakan NCR dan pemotongan ke atas tuntutan bayaran bulanan bagi kerja penyenggaraan longkang sebagai penalti.

     

    MBDK

    Majlis Bandaraya Diraja Klang telah mengeluarkan Kerja-kerja Perkhidmatan Pembersihan Parit Monsun bermula dari bulan Mei 2024 hingga Februari 2025, meliputi seluruh Daerah Klang. Sebanyak 31 kontraktor telah dilantik untuk kerja-kerja Perkhidmatan Pembersihan tersebut meliputi Klang Utara dan Klang Selatan. Pembersihan akan dilakukan sebanyak 4 pusingan dan tempoh kontrak adalah selama 10 bulan. Lantikan kontraktor baru secara tahunan dibuat melalui Sebutharga Terbuka.

     

    Pemantauan dibuat secara manual dimana seorang pegawai di kawasan Klang Utara dan seorang pegawai di kawasan Klang Selatan. Pemantauan dibuat setelah tamat setiap pusingan kerja pembersihan berdasarkan jadual yang telah disediakan oleh pihak Majlis. Pihak kontraktor juga diarahkan untuk menghantar laporan bergambar kerja di tapak setelah kerja-kerja pembersihan selesai dibuat.

Lampiran

Tiada Lampiran.