Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
65) PENYALAHGUNAAN LESEN PERNIAGAAN OLEH WARGA ASING
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Syed Ahmad Bin Abdul Rahman Alhadad
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk memulakan kempen besar-besaran terhadap warga asing yang menyalahgunakan lesen perniagaan milik warga tempatan?
Kerajaan Negeri menerusi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sentiasa konsisten menjalankan tindakan penguatkuasaan di semua premis perniagaan di kawasan pentadbiran PBT masing- masing termasuk perniagaan kecil bagi memastikan tiada isu penyalahgunaan lesen. Pada masa ini, pihak PBT berpendirian tegas bahawa warga asing tidak dibenarkan menjalankan perniagaan di bawah lesen penjaja selaras dengan Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan) Bilangan 1 Tahun 2020 (Dasar Aktiviti Penjaja Dan Peniaga Kecil Di Negeri Selangor). Walau bagaimanapun, tiada larangan kepada mana-mana warga asing yang sah mengikut peruntukan undang-undang semasa untuk bekerja sebagai pembantu atau pekerja kepada pasangan mereka bagi perniagaan lain. Pihak PBT mempunyai kuasa untuk menggantung atau membatalkan lesen perniagagn sekiranya terdapat pelanggaran syarat lesen yang telah dibuat oleh pemilik lesen dan tindakan pembatalan lesen akan dikenakan terhadap warga tempatan yang menyalahgunakan lesen perniagaan.
-
Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk menggubal akta yang lebih tegas bagi memastikan masalah ini dapat diselesaikan?
Penggubalan atau penyediaan akta adalah dibawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Namun, Kerajaan Negeri sentiasa menambah baik Undang-Undang Kecil (UUK) sedia ada dari semasa ke semasa yang digunapakai oleh semua PBT Negeri Selangor. UUK Penjaja adalah salah satu undang-undang yang sedang ditambah baik oleh Kerajaan Negeri dengan usaha pelaksanaan siri bengkel dan mesyuarat. Untuk makluman, draf pindaan bagi UUK Penjaja ini adalah dalam semakan peringkat akhir sebelum proses perwartaan